MERSING – Seorang penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35, yang dilaporkan hilang ketika ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di sini, semalam diselamatkan sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superitendan Cyril Edward Nuing berkata, jurulatih selam itu ditemui kira-kira 30 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai hilang kira-kira jam 8.15 pagi.
“Kalau mengikut daripada keterangan mangsa tadi ketiga-tiga mangsa yang lain berjaya timbul dan dapat surface dengan kelengkapan yang ada dan pengalaman kita percaya peluang untuk temui mereka dalam keadaan hidup amat tinggi.
“Mangsa hanyut ke selatan dan ditemui di sekitar perairan Tanjung Sedili. Mangsa dalam keadaan stabil dan tiada kecederaan serius. Mangsa kini berada di Hospital Mersing untuk pemeriksaan kesihatan. Ketika ditemui Kristine terapung dipermukaan laut dengan berkelengkapan alat menyelam.
“Jurulatih itu memaklumkan kali terakhir melihat tiga lagi mangsa yang masih hilang pada jam 12.45 tengahari pada permukaan laut dan berhubung menerusi jeritan. Namun selepas itu hilang dari pandangan dibawa arus yang kuat,” katanya pada sidang media di di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, hari ini.
Semalam, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor tengah hari tadi.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria, berkata pihaknya menerima maklumat melalui Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya jam 2.35 petang mengenai empat penyelam warga asing tidak timbul selepas melakukan latihan selaman sekitar 12 tengah hari.