MELAKA – Akibat memukul isteri yang hanya menolak untuk mengadakan hubungan seks – seorang buruh dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun dan enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
V. Murugan, 30, dijatuhkan hukuman itu di mahkamah berasingan oleh Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Hakim Nariman Badruddin atas empat pertuduhan di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh.
Mengikut pertuduhan pertama, pekerja kedai besi buruk itu didapati dengan sengaja mencederakan isterinya, A.M. Saraswathi, 24, dengan cara memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.
Tertuduh juga mencederakan anak lelakinya, M. Sivaneswaran, 6, dengan cara memukul bahu kanan mangsa menggunakan wayar USB telefon.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh didapati menakutkan isterinya secara jenayah berbentuk ugutan dengan meletakkan sebilah parang di leher mangsa.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Semua tindakan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Ujong Pasir dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 6 petang 9 Oktober 2021.
Dalam pertuduhan keempat, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya dengan cara menendang di bahagian dada mangsa sehingga terjatuh kira-kira jam10 pagi keesokan harinya.
Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntuk hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika tertuduh dalam keadaan mabuk dan bertindak mengugut serta memukul isterinya selepas mangsa enggan melakukan hubungan seks dengannya.
Anak tertuduh yang melihat kejadian kemudian menjerit sebelum turut dipukul dengan wayar USB telefon.
Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara lima tahun dan enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 10 Oktober tahun lalu.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N. Sivashangari.- MalaysiaGazette
Didunia ini suami kena hukum di akhirat nanti isteri pula kena hukum . Itulah perbezaan hukum Allah dengan hukum manusia .