Home Nasional Usaha tangani ancaman siber jamin perkembangan ekonomi digital

Usaha tangani ancaman siber jamin perkembangan ekonomi digital

Kerajaan dan pemain industri dunia perniagaan dan ekonomi digital perlu mengembleng tenaga dalam mencegah ancaman dan serangan siber.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan pemain industri dunia perniagaan dan ekonomi digital perlu mengembleng tenaga dalam mencegah ancaman dan serangan siber.

Langkah itu perlu diperkukuhkan dengan kerjasama komunikasi strategik dan perkongsian idea teknologi rakan serantau untuk meraih semula keyakinan komuniti global.

Ketua Pembangunan Industri dan Perniagaan Sibersekuriti Malaysia, Mohamed Anwer Mohamed Yusoff berkata, usaha untuk mencegah serangan siber dalam platform ekonomi digital secara perseorangan tidak menjamin keberkesanan yang diharapkan.

Beliau mengemukakan cadangan perlunya satu langkah penyelesaian kukuh dengan kertas kerja lengkap membolehkan kerajaan dan pihak pemain industri dan syarikat perniagaan duduk semeja mencari jalan menanganinya isu serangan siber itu.

“Sebaliknya, perlu wujud kolaborasi dan kerjasama antara kerajaan serta organisasi swasta yang menjadi pemain utama dalam dunia ekonomi pendigitalan.

“Lebih lebih lagi langkah itu perlu dipergiat dan disegerakan memandangkan kita sudah memasuki fasa dunia 5G dan ancaman siber semakin kompleks dan juga kritikal.

“Di sini kerajaan perlu menyatakan pendirian mereka dan tindakan jangka panjang kerana segala usaha yang dilaksanakan ketika ini belum cukup berkesan untuk menangani ancaman siber untuk menjamin urusniaga ekonomi digital yang selamat untuk komuniti tempatan dan global,” katanya dalam Webinar Zoom forum mengenai Cybersecurity and Trust petang tadi.

Empat lagi panelis menyertai forum berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (MyDigital), Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, Fabian Bigar, Ketua Pegawai Teknologi Carrier Network Business Group, Huawei Ttechnologies Co. Ltd, Ketua Pegawai Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan TM, Sharlene Thiagarajah dan Pengarah Pusat Ekonomi Digital Inklusif, Asian Vision Institute Kemboja, Chhem Siriwat.

Tambah Mohamad Anwar, beberapa data yang dikumpul  menunjukkan sekitar 1,159 insiden berkaitan berita palsu diterima dari bulan Januari hingga Februari tahun ini dan sebanyak 854 daripadanya membabitkan kes penipuan kewangan dalam talian membabitkan wang ratusan ribu hingga jutaan ringgit.

Ahli panel dari Kemboja, Chhem berkata, kerajaan dan juga pemain industri ekonomioi digital dan e-dagang kini dalam situasi untuk meningkatkan semula kepercayaan dalam kalangan rakyat untuk membuktikan data peribadi mereka dalam ekonomi digital terselamat dan dilindungi.

Bagi tujuan itu, katanya, perkongsian kepakaran dan idea teknologi sangat penting antara rakan serantau atau lebih tepat hubungan bilateral.

“Sebelum Covid-19 melanda dunia, kita kekal menggunakan lebih urusniaga secara tunai walaupun kegunaan digital tak begitu efektif tetapi selepas dua tahun pandemik kita beralih ke ekonomi digital sepenuhnya dan kebanyakan transaksi ekonomi dan perniagaan berlaku secara maya (digital).

“Maka situasi ini mewujudkan keperluan sangat serius dan memberi isyarat sangat jelas tahap keselamatan siber perlu diperkasakan lagi dengan kadar segera untuk menjamin dan memberi keyakinan kepada rakyat urusniaga mereka selamat,” ujarnya.

Dalam pada itu,  seorang lagi panelis, Sharlene pula mencadangkan fokus utama perlu diberi kepada empat perkara pokok dalam dunia digital iaitu model perniagaan, ekologi, teknologi dan set minda kerana kesemuanya asas kepada memperkasa ekonomi digital dengan platform keselamatan yang kukuh daripada ancaman siber.

“Wujud keperluan untuk kerajaan mencari pokok kepada masalah serangan siber itu kerana jika ia dapat ditangani maka mudah untuk pemain industri membina kepercayaan semula dan juga membangunkan benteng ancaman siber yang lebih kukuh dengan pelaburan lebih realistik mengikut keperluan semasa.

“Serangan siber yang dilakukan penggodam luar terhadap laman web rasmi kerajaan pada tahun lalu satu mesej jelas kita tidak boleh berlengah dalam perkara ini dan satu tindakan holistik diperlukan segera.

“Ia akan membantu negara serantau bangkit menyuburkan semula ekonomi digital dan perdagangan dalam fasa endemik ini kembali normal dan utuh dan pada masa sama data peribadi pengguna dan komuniti umum dilindungi dengan kebal,” tegasnya.- MalaysiaGazette