Home Nasional Yayasan Peneraju jadi kilang besar akauntan profesional Bumiputera

Yayasan Peneraju jadi kilang besar akauntan profesional Bumiputera

Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (kiri), Raja Azura Raja Mahayuddin bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) menyerahkan anugerah kepada penerima biasiswa cemerlang, Ahmad Fauzan Mohd Hassan (kanan) pada Majlis Simposium 2017 anjuran Perakaunan Yayasan Peneraju di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) telah membiayai 3,000 akauntan profesional Bumiputera dan akan terus menghasilkan sehingga 15,000 tenaga mahir itu menjelang 2030.

Ketua Eksekutifnya, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, ia menjadi agenda utama sejak penubuhan Yayasan Peneraju pada 2012 dalam meningkatkan bilangan akauntan bertauliah Bumiputera, sekali gus menjadi kilang terbesar dalam bakat itu.

“Akauntan Bumiputera pada masa ini hanya merangkumi 8.42 peratus atau 1,686 daripada keseluruhan 20,032 akauntan profesional dan usaha perlu dipertingkatkan untuk mendapatkan lebih banyak penyertaan daripada golongan ini.

“Sekiranya kita ingin mencapai aspirasi nasional untuk kemajuan ekonomi dan status berpendapatan tinggi pada 2020, kita perlu memastikan mempunyai bilangan profesional yang ramai dalam bidang perakaunan,” katanya pada Simposium Akauntan 2017 anjuran Yayasan Peneraju di Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bergambar kenangan bersama pelajar penerima biasiswa yang mendapat anugerah cemerlang pada Majlis Simposium 2017 anjuran Perakaunan Yayasan Peneraju di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 OKTOBER 2017.
Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Raja Azura berkata, Yayasan Peneraju kini berada di landasan yang tepat apabila saban tahun membangunkan 1,000 akauntan profesional bagi memenuhi permintaan negara.
Pada masa ini, katanya, Yayasan Peneraju telah berjaya melahirkan bakat berkelas dunia termasuk Fathin Nur Amirah Mohd Nor dan Jazlan Azman yang dianugerahkan ACCA World Prize Winner.
“Mereka ini mendapat tempat ketiga dan kelapan tertinggi dunia untuk kertas F5 (Pengurusan Prestasi).
“Sementara itu Haslinda Milok dan Nurul Nabilah Jalil pula berjaya mendaapt tempat keempat dan keenam di dunia untuk kertas P2 (Laporan Korporat),” katanya. – MalaysiaGazette