Home Nasional MOT digesa percepatkan permohonan perkhidmatan teksi air di P. Pinang

MOT digesa percepatkan permohonan perkhidmatan teksi air di P. Pinang

GEORGE TOWN – Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang (PKNPP) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) mempercepatkan pertimbangan berhubung permohonan teksi air di negeri ini.

Wakil PKNPP, Nurhafiza Huda Idris berkata, perkhidmatan teksi air diperlukan sebagai satu mod pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan aktiviti pelancongan di Pulau Pinang.

Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menegaskan Kerajaan Negeri telah merancang untuk menyediakan perkhidmatan teksi air seperti yang dikemukakan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang namun sehingga kini tiada sebarang perbincangan daripada pihak MOT.

“Pada 15 September 2021, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui MBPP telah menghantar satu surat kepada MOT untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan untuk memanggil tender terbuka secara Request-for-Proposal (RFP).

“RFP tersebut bertujuan untuk mendapatkan cadangan menyeluruh daripada syarikat yang berminat untuk menyediakan dan mengoperasikan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang.

“Bagaimanapun; sudah lebih enam bulan, pihak MBPP masih belum mendapat maklumbalas mahupun kelulusan untuk mengadakan sebarang perbincangan daripada MOT,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Nurhafiza, projek ini tidak dapat dilaksanakan di peringkat negeri kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa MOT, seperti yang termaktub dalam Jadual 9, Akta Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak MOT mempercepatkan pertimbangan berhubung  permohonan tersebut demi kepentingan rakyat Pulau Pinang,” kata beliau.

Media pada Ogos 2019 melaporkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Bhd akan memperkenalkan teksi air di negeri ini sebagai tarikan baharu selain menggantikan sebahagian perkhidmatan feri di Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan ketika itu, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan pelaksanaan teksi air atau Catamaran Boat itu dijangka dilaksanakan tahun hadapan. – MalaysiaGazette