Home Seni Hidup TNB peruntuk RM1 juta untuk Program Ceria Ke Sekolah

TNB peruntuk RM1 juta untuk Program Ceria Ke Sekolah

Pengerusi TNB, Dato' Sri Hasan Arifin (tengah) bergambar bersama penerima (murid) dan ibu bapa selepas penyerahan sumbangan Program Ceria Ke Sekolah (CKS) TNB peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Daerah Bandar Tun Razak, Keratong, Pahang pada Ahad (3 April).

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan inisiatif membantu persiapan persekolahan anakanak keluarga berpendapatan terendah (B40), dengan memperuntukkan RM1 juta lagi bagi sesi persekolahan 2022 melalui Program Ceria Ke Sekolah (CKS).

Ini adalah tahun ketiga di musim pandemik, TNB membuat sumbangan yang amat diperlukan oleh golongan B40, terutamanya di luar bandar dalam suasana yang masih terkesan akibat penularan Covid-19.

Kira-kira 5,000 murid di 55 kawasan di seluruh negara menerima bantuan tersebut yang diserahkan secara berperingkat termasuk disampaikan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin kepada 405 murid berusia 7 hingga 12 tahun dari 41 sekolah rendah di Rompin, Ahad lalu (3 April).

”Kepada sesetengah keluarga, pemberian keperluan asas persekolahan ini barangkali kecil nilainya. Namun ia amat bermakna kepada kebanyakan keluarga yang sedia ada tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah, apatah lagi terkesan pula dengan pandemik Covid19,” kata beliau.

Seramai 1,254 murid di Pahang termasuk di Rompin, Jelai, Bera, Cameron Highlands, Kuantan, Temerloh, Bentong dan Raub menerima bantuan keperluan asas persekolahan tersebut seperti pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis pada tahun ini.

Sejak pelaksanaan program ini mulai tahun 2013 hingga 2021, TNB telah membantu meringankan beban 67,241 buah keluarga dari 395 kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan melibatkan kos sebanyak RM10.5 juta.

Pemberian ini adalah satu cerminan budaya korporat TNB yang sentiasa prihatin dengan rakyat, dan bersedia berkongsi kemakmuran dengan masyarakat, apatah lagi dalam suasana sukar ketika negara masih dalam proses pemulihan ekonomi.

Menurut Hasan, bantuan kelengkapan sekolah ini adalah sebahagian daripada agenda TNB dalam bidang pendidikan, terutamanya untuk golongan kurang berkemampuan.

Ada pelbagai bantuan lain termasuk dermasiswa, biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada para pelajar, sejajar komitmen memperkasakan pendidikan generasi pewaris serta membangunkan modal insan negara.

”Sebagai Warga Korporat Prihatin (Good Corporate Citizen), kami di TNB mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pendidikan, atas keyakinan bahawa ia boleh membawa perubahan kepada kehidupan rakyat, termasuk keluar daripada putaran ganas kemiskinan dalam jangka panjang,” katanya. – MalaysiaGazette