Home Seni Hidup ‘Akid tak tahu kenapa orang benci’

‘Akid tak tahu kenapa orang benci’

KUALA LUMPUR –  Air mata seorang kanak-kanak daripada keluarga miskin meruntun jiwa apabila masyarakat setempat menuduhnya lapar ‘kedarah’ atau meminta-minta.

Ini hanya kerana kanak-kanak lelaki tersebut mengambil upah dengan membuat kerja termasuh membersihkan surau.

Dalam klip video berkenaan dikongsi oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction di TikTok, kanak-kanak bernama Akid yang tinggal di Kelantan itu berkata, kerana kemiskinan keluarganya dia perlu ‘bekerja’ hanya untuk membeli makanan.

Duit upah bekerja yang sedikit iaitu sebanyak RM6 digunakan olehnya untuk membeli tepung dan bawang untuk dimasak agar keluarganya juga boleh mengisi perut.

Lebih menyayat hati, menurut kanak-kanak itu, ada yang menuduh dia mencuri sedangkan dia tidak melakukan perbuatan tersebut.

Menurut Akid, dia tidak faham kenapa dirinya dan keluarga dibenci oleh masyarakat.

“Ma, abah tak mampu nak beli rumah besar. Kalau nak makan pun kena cari duit sendiri. Cuci, vacum dan cuci tandas surau.

“Kadang-kadang (dapat) RM6 macam tu lah. Akid beli bawang merah, beli tepung untuk buat makan.

“Ada orang kata kat kami lapar kedarah (meminta). Ambil duit orang. Akid tak ambil pun. Orang benci, tak tahu kenapa orang benci,” katanya sambil menangis.

Dalam klip berkenaan, turut dipaparkan keadaan rumah remaja tersebut yang sebahagian besar dindingnya telah roboh. Malah terdapat bahagian yang tidak mempunyai atap.

“Hari itu sampai di Kelantan sempat singgah satu rumah. Bahagian dalam rumah sudah roboh. Ingatkan sebab banjir.

“Rupanya dia orang duduk macam ini sejak Oktober tahun lepas lagi. Sebab dah rapuh sangat, ini sebab kena tiup angin,” tulis kapsyen dalam video itu.

Sementara itu, rata-rata netizen bersimpati dengan situasi yang dialami oleh Akid.

Menurut mereka, kebencian yang dihadapi oleh Akid disebabkan kemiskinan keluarganya.

“Sebab kita susah Akid. Sebab tu orang benci. Orang takut duit dia orang habis nanti kena sedekah kat orang susah. Sabar la adik. Allah sayang adik,” pujuk Yanti Manap.

“Memang miskin dibenci. Saya 12 orang adik beradik. Orang-orang kampung dah cop ‘kalau kenduri jangan ajak famili Abe Kob tu. Anak ramai habis gulai nanti’,” kata Jajaramirez.

Sementara itu ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada keluarga remaja terbabit. – MalaysiaGazette.