Home Nasional Ingkar SOP: Pengunjung, pemilik tiga premis hiburan dikompaun RM70,000

Ingkar SOP: Pengunjung, pemilik tiga premis hiburan dikompaun RM70,000

Seramai 67 pengunjung dan tiga pemilik premis di tiga pusat hiburan dikompaun polis kerana mengingkari prosedur operasi standard Covid-19. Foto: JPJKK KL.

KUALA LUMPUR – Seramai 67 pengunjung pusat hiburan dikompaun dalam tiga serbuan berasingan Operasi Khas Pematuhan SOP Covid-19 di ibu negara, malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Azman Ayob berkata, sebanyak sembilan kompaun telah dikeluarkan terhadap pengunjung di premis pertama manakala 31 kompaun dikeluarkan kedua pengunjung di premis kedua.

Bagi serbuan ketiga, pihaknya mengeluarkan 27 kompaun lagi dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM67,000 iaitu RM1,000 setiap seorang.

“Hasil risikan mendapati kesemua pusat hiburan tersebut telah beroperasi melakukan kesalahan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Azman, sebanyak tiga kompaun dikeluarkan terhadap setiap pemilik premis pusat hiburan terlibat berjumlah RM3,000.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP Covid-19 yang masih dikuatkuasakan demi mengurangkan penularan jangkitan wabak ini.

Seramai 67 pengunjung dan tiga pemilik premis di tiga pusat hiburan berjaya dikompaun selepas dikesan berlaku pengingkaran SOP Covid-19 yang ditetapkan dalam serbuan malam tadi di ibu negara.-Ihsan foto: JPJKK KL.

“Jika terdapat sebarang maklumat pelanggaran SOP Covid-19 terutama di pusat hiburan berhampiran anda, orang ramai boleh menyalurkan maklumat tersebut melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun di telefon pintar anda.

“Polis Kuala Lumpur amat menghargai sebarang bentuk maklumat daripada anda demi kesejahteraan masyarakat bersama,” ujarnya.-MalaysiaGazette