SEREMBAN – Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengeksploitasi seorang individu bagi tujuan meminta sedekah tahun lepas.
Nurul Hidayah Md Nor, 30, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah didakwa memperdagangkan lelaki berusia 27 tahun yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi di bawah Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dengan menyuruhnya meminta sedekah di tempat awam sedangkan dia mampu mempunyai mata pencarian lain.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat sebulan sekali selain tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Mei untuk serahan dokumen.
— BERNAMA