KUANTAN – Isteri kepada seorang warga emas yang menjadi korban kebakaran di Pangsapuri Medan Warisan di sini petang tadi reda dengan ketentuan takdir.
Zaleha Mokhtar, 46, dan keluarga menganggap ujian pada Ramadan kali ini apabila kehilangan suami dan tempat berteduh sekelip mata.
“Walaupun rumah terbakar, suami sudah tiada, makcik okay, Ramadan kali ini penuh ujian tapi reda. Pada mula ingat rumah sahaja terbakar dan bila sampai baru tahu bahawa suami sudah tiada kerana menjadi mangsa kebakaran,” katanya ketika ditemui di sini petang tadi.
Menurut Zaleha, rumah yang terbakar itu telah didiami keluarganya sejak dua tahun lalu.
“Saya terima dan reda dengan ujian ini semua dan hubungi semua anak-anak untuk proses pengurusan jenazah,” katanya.
Menurutnya, semasa kejadian, beliau yang bertugas sebagai tukang cuci di sebuah intitusi pengajian awam di sini bergegas pulang apabila dihubungi penjaga bangunan memaklumkan kejadian berkenaan.
Zaleha berkata, kali terakhir beliau berbual dengan arwah suaminya selepas Subuh tadi dan suaminya yang mengidap penyakit tiga serangkai itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh.
Mayat suaminya, Ramli Mohamed, 64, ditemui terperangkap dalam insiden kebakaran petang tadi dan ditemui oleh pasukan bomba di bilik rumah mereka.
Dalam pada itu, Zaleha yang kini tinggal sehelai sepinggang melahirkan kesyukuran apabila pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang tampil memberi bantuan kepadanya.
“Syukur, alhamdulillah wakil pengarah JKM Pahang datang hantar bantuan kepada kami berupa wang tunai RM2,000, toto, selimut, bantal dan kit bencana petang tadi.
“Buat sementara ini saya cuba menumpang di bilik anak dahulu dan hendak selesaikan urusan pengebumian arwah,” katanya hiba. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: