KUALA LUMPUR – ‘Lega dan gembira’ itu perasaan yang digambarkan para peniaga Bazar Aidilfitri Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) apabila dapat kembali beroperasi dalam keadaan selesa tanpa ada halangan pagar besi yang mengelilingi bazar itu.
Tinjauan MalaysiaGazette malam tadi mendapati, semua peniaga yang menyewa di tapak berkenaan sibuk membuat persiapan di gerai masing- masing untuk memulakan operasi perniagaan mereka selama 22 hari bermula hari ini.
Biarpun dibelenggu masalah di peringkat awal apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memasang pagar besi mengelilingi bazar tersebut, namun segalanya dapat diatasi dengan cara yang baik.
Roslina Yusof, 44, di bazar berkenaan meluahkan rasa gembira kerana rintihan mereka didengari pihak DBKL dan berjaya merealisasikannya agar sambutan perniagaan pada tahun ini kembali baik berbanding tahun lalu.
“Saya berasa amat gembira kerana isu sebelum ini dapat direalisasikan dengan pagar sudah buka dan kita nampak berapa ramai pelanggan datang hari ini walaupun kita baru buat persediaan untuk pembukaan esok. Jadi kita rasa sambutan tahun ini mungkin meriah.
“Jika kita lihat pada hari pertama keadaan di sini, penjarakan memang terlalu dekat dan bila ada pengasingan dari ruang kedai depan dan belakang, kita dapat rasa macam dalam kongkongan atau sangkar tapi bila dalam keadaan diubah begini, kita rasa pelanggan yang datang pun ada banyak pilihan.
“Saya rasa amat bersyukur sangatlah dan terharu dengan tindakan beliau (Datuk Bandar) dan Menteri Wilayah Persekutuan yang turut serta dalam perubahan yang berlaku pada hari ini,” katanya pada pemberita, semalam.
Elisuria Sabaruddin, 40, yang telah berniaga lebih 30 tahun di sini turut mengucapkan penghargaan kepada DBKL dan berpuas hati dengan tindakan agensi itu yang cukup pantas untuk membantu meningkatkan kembali ekonomi peniaga Bazar Aidilfitri Jalan TAR.
“Macam kita ini peniaga boleh dikatakan peniaga tetap di sini setiap tahun. Memang berpuas hatilah DBKL dengar permintaan kami semua di sini untuk buka pagar semua walaupun buka agak lewat sedikit tapi apa pun kita memang berterima kasih sangat pada DBKL.
“Mereka mendengar suara kita di sini sebagai peniaga jalan TAR untuk tidak memasang pagar di tepi bazar ini. Perubahan yang dibuat ini bagi saya sangat selesa. Jika masih macam tahun lalu, perniagaan saya memang jatuh terduduk. Harap tahun ini, semua kembali baik.
“Dari segi SOP, kita akan patuhi apa yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan memastikan pelanggan kita imbas MySejahtera,”ujarnya.
Sementara itu, pengunjung yang ditemui, Eddie Zaidi Mokhtar, 50, berpandangan pengalihan pagar besi itu bersesuaian dengan situasi ketika ini memandangkan negara yang sedang berada pada fasa peralihan ke endemik.
Katanya, melebarkan tapak bazar berkenaan juga dapat memberi peluang pada pelanggan untuk membuat pilihan barangan dengan mudah serta dapat membantu mengembalikan ekonomi peniaga pada bulan Ramadan setelah terjejas akibat dek pandemik Covid-19.
“Ahamdulilah sebagai pengunjung apabila melihat perubahan yang dibuat oleh DBKL ini kita berasa lega bukan sahaja untuk kita malah peniaga juga sebab kita dah dua tahun terkurung akibat pandemik Covid-19 ditambah mereka ini bukan orang senang.
“Saya berasa bersyukur dan gembira pun ada dengan keadaan yang lebih selesa. Tidak lagi ada halangan pagar besi seperti tahun lalu. Kalau ada pagar besi, saya rasa pengunjung masih takut ingin datang ke sini sebab perlu berhimpit ditambah orang susah nak bergerak.
“Macam saya baru balik terawih, saya rasa lebih baik kalau masa pun dilanjutkan sehingga pagi sebab rata-rata kita yang hadir ini pun orang Melayu perlu ada masa ingin bersiap nak bawa anak-anak dan keluarga membeli belah,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan penjawat awam, Mohd Sharul Nizam Musnadi, 25, yang menyatakan, pengunjung pada tahun ini tidak perlu lagi beratur panjang seperti tahun lalu untuk memasuki bazar.
Ia turut memudahkan pelanggan untuk membuat pilihan barangan bukan sahaja di bazar Aidilfitri malah boleh memilih barangan di kedai yang berada di tepi bazar itu tanpa perlu keluar pintu utama.
“Bagi saya untuk bazar Aidilfitri kali ini berbeza jika dibandingkan tahun lepas dengan ada pagarnya dan ruang untuk kita berjalan dan membeli terhad tapi untuk tahun ini pihak DBKL telah buka pagar, kita nak beli barangan di hadapan dan belakang kedai pun senang.
“Tahun lepas saya pergi memang sesak sampai kena berbaris di pintu A, B dan C. Bila ada situasi itu, barisan orang ramai yang hadir panjang dan akan menyusahkan malah melambatkan serta menggalakkan orang ramai berkumpul terlalu lama pada satu-satu masa,” ujarnya.
Pada 7 April lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah memutuskan untuk membuka semula pagar besi yang didirikan di tepi Bazar Aidifitri Jalan TAR demi keselesaan pengunjung dan peniaga yang memulakan operasi pada 9 April hingga 2 Mei ini. – MalaysiaGazette.