KUALA LUMPUR – Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang meneliti laporan media tempatan yang mendakwa terdapat 10,000 rakyat Malaysia menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Thailand.
Kementerian Luar yang menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas berkata, ia sedang mengambil langkah drastik untuk menyiasat perkara itu.
Katanya, laporan tersebut mendakwa warga Malaysia yang masuk ke Thailand menggunakan Pas Sempadan Malaysia-Thailand tidak dapat pulang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada bulan Mac 2020 dan penutupan sempadan antarabangsa Malaysia akibat penularan pandemik Covid-19.
“Berdasarkan penelitian awal, dakwaan sehingga 10,000 orang rakyat Malaysia masih
berada di Thailand secara tidak sah atau lebih masa adalah tidak berasas dan
Kementerian ini yakin bahawa jumlah tersebut adalah jauh lebih kecil.
“Sejak PKP dilaksanakan, Kementerian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah
menghulurkan bantuan kepada lebih 2,439 orang warganegara Malaysia yang berhasrat
untuk pulang ke tanah air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Wisma Putra, berdasarkan rekod Konsulat Jeneral, sehingga kini hanya 72 warga Malaysia yang berdaftar dengan Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan.
Malah katanya, bilangan itu adalah sebahagian daripada 444 orang warga Malaysia yang telah mendaftarkan dengan Konsulat Jeneral.
“Walaubagaimanapun, Kementerian memperakui terdapat kesulitan-kesulitan yang
dihadapi rakyat Malaysia akibat penutupan sempadan sejak Mac 2020 dan Kerajaan
Thailand pada bulan Februari 2021 telah mengumumkan supaya semua warganegara
asing yang memegang visa pelancong/jangka pendek untuk meninggalkan negara
tersebut atau akan dikenakan penalti sekiranya mereka gagal berbuat demikian.
“Lanjutan daripada itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand telah membantu dari segi pembaharuan Paspot Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk memohon pelanjutan tempoh visa di Thailand manakala Sijil Perakuan Cemas telah dikeluarkan kepada pemegang Pas Sempadan yang telah luput bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri menasihatkan warga Malaysia di Thailand yang terkesan akibat penutupan sempadan kedua-dua negara dan memegang dokumen perjalanan yang telah luput untuk hadir ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bermula 8 April 2022 bagi membolehkan bantuan konsular dihulurkan.
Sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut boleh dikemukakan secara terus kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand di No. 4 Sukhum Road Muang District Songkhla, Thailand 90000, menghubungi di talian (6674) 311 062 / 316 274 atau mengajukan e-mel ke alamat [email protected] – MalaysiaGazette