Home Seni Hidup Sendirian 18 tahun sara lima cicit, cekalnya semangatmu moyang Awa

Sendirian 18 tahun sara lima cicit, cekalnya semangatmu moyang Awa

Awa Minhat

MELAKA – Kedut di riak wajahnya semakin jelas kelihatan, kudrat tulang empat keratnya juga sudah tidak lagi sekuat mana, namun tanggungjawab dipikul warga emas ini bukan biasa-biasa.

Betapa tidak, dialah ibu, ayah, nenek dan atuk kepada lima cicitnya sejak 18 tahun lalu apabila bersendirian memikul semua tugas itu yang sepatutnya tidak lagi menjadi urusannya.

Namun dek kerana terlalu sayang cicitnya itu yang sudah dianggap sebagai anak sendiri, Awa Minhat, 79, terus membesarkan mereka yang berusia tujuh hingga 18 tahun selepas cucunya yang juga ibu kanak-kanak itu bercerai dan bapanya pula sedang menjalani hukuman di Penjara Lipat Kajang, Jasin.

“Sejak itu, dari kecil lagi nenek membesarkan mereka malah mereka juga memanggil nenek dengan panggilan ‘mak’ walaupun tahu ibu kandung mereka sudah berkahwin lain dan mempunyai kehidupan dengan suami baharu.

“Nenek tiada halangan kalau mereka nak tinggal bersama ibu mereka, tapi budak-budak ni sendiri tak nak dan mahu terus tinggal di sini bersama nenek.

“Selagi belum mati, nenek akan jaga budak-budak ini sebaik-baiknya kerana kasihan dan tak nak mereka jadi seperti anak pelarian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampungku Sayang Bukit Piatu, di sini.

Bercerita lanjut, Awa yang sudah kematian suami dan menghidap penyakit kencing manis berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana kesemua cicitnya itu termasuk yang bongsu berusia tujuh tahun mengidap sakit usus tidak pernah meminta-minta di luar kemampuannya.

Keadaan itu jelasnya, menjadikan pencen RM1,000 sebulan sebagai pesara atendan hospital sentiasa cukup untuk menyara keperluan makan minum mereka yang tinggal di tanah pusaka keluarganya itu.

“Apa yang nenek makan, itulah yang mereka nikmati, kalau ada rezeki lebih, lebihlah kami makan, kalau kurang, bersyukurlah seadanya dan selagi masih bernyawa, nenek akan terus menjaga mereka.

“Kalau nenek dah mati esok, pandai-pandailah mereka sebab nenek dah bela sebaik-baiknya bagi memastikan mereka mendapat pendidikan secukupnya untuk menjadi insan berguna.

“Walau apapun berlaku, nenek tak akan sekali-kali berpisah dengan budak-budak ini kerana takut jika mereka tersalah kawan jadi nakal dan tidak menjamin masa depan,” katanya.

Awa memeluk erat salah seorang daripada lima cicitnya berusia tujuh tahun yang dijaga sejak 18 tahun lalu di rumah pusaka keluarganya di Kampungku Sayang, Bukit Piatu, Melaka.

Menyentuh mengenai persiapannya menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, warga emas itu berkata, sama seperti tahun sebelumnya, sebagai ’emak’ dia akan memastikan ‘anak-anaknya’ juga mempunyai pakaian baharu.

“Sama juga macam tahun-tahun lepas, nenek akan usahakan pakaian baharu buat mereka, kalau untuk nenek, pakaian apa yang ada pun masih elok,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik berkata, beberapa pegawainya sudah pun menyantuni keluarga berkenaan dan didapati layak menerima Bantuan Kanak-Kanak berjumlah RM600 sebulan.

Jelasnya, bantuan terbabit akan diberikan bermula Mei depan kepada moyangnya sebagai wakil penjaga sah kerana anak-anak itu berada di bawah jagaannya. – MalaysiaGazette