Home Nasional Kerajaan Johor minta bantuan Indonesia cari penyelam hilang

Kerajaan Johor minta bantuan Indonesia cari penyelam hilang

Onn Hafiz bertemu Pengurus Sea Gypsy Village Resort,Pulau Sibu Besar,Richard Wills.

JOHOR BAHRU- Kerajaan negeri Johor meminta bantuan Indonesia mencari seorang lagi penyelam warga Eropah yang masih hilang di Perairan Pulau Tokong Sanggol, Mersing.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia berdasarkan kemungkinan mangsa Nathen Renze, 14, dari Belanda dihanyutkan ke perairan negara jiran itu.

“Pada masa sama usaha masih dibuat semua agensi dalam misi mencari dan menyelamat kita akan cuba terbaik untuk mencari seorang lagi yang masih hilang.

“Betul, kita akan bekerjasama di kawasan Indonesia-Malaysia. Kita akan bekerjasama dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas melawat kedua-dua mangsa yang terselamat di sebuah hospital pakar di Pasir Gudang, dekat sini, hari ini.

Pada awal pagi ini, dua lagi penyelam warga Eropah yang hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol berjaya ditemukan selamat kira-kira pukul 1 pagi.

Mangsa terbabit iaitu warga British, Adrian Peter Chesters, 46, dan warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18, ditemui nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan.

Mangsa yang hanyut sejak 6 April lalu itu ditemui di perairan selatan Pengerang, Kota Tinggi berhampiran sempadan Indonesia.

Kelmarin, jurulatih penyelam dari Norway, Kristine Grodem, 35, adalah mangsa pertama yang ditemukan selamat berhampiran Pulau Tokong Sanggol dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam.

Dia ditemukan dalam keadaan selamat oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

Onn berkata, usaha mencari Nathen Renze, 14, iaitu anak lelaki Andrian yang masih hilang akan diteruskan dengan bantuan semua agensi.

Dalam pada itu, Onn berkata, kerajaan negeri akan menampung rawatan perubatan mangsa empat penyelam warga asing yang terlibat.

“Seperti sedia maklum Alhamdulilah kita berjaya menjumpai dua lagi mangsa yang hilang tempoh hari, Alhamdulilah mereka dalam keadaan sedar,” katanya. – MalaysiaGazette