PETALING JAYA – Tarikh pendaftaran untuk ahli PKR sebagai Pemilih Atas Talian dilanjutkan sehingga 21 April depan dan mereka juga tidak perlu membayar yuran keahlian untuk mengundi pada Pemilihan PKR 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, pelanjutan tarikh itu adalah bagi memberi ruang lebih ramai bilangan pemilih atas talian supaya tidak berlaku kesesakan di pusat pengundian fizikal semasa proses pemilihan yang akan bermula pada 13 Mei.
“Sebelum ini kita bagi tarikh sehingga 8 April untuk ahli parti melakukan verifikasi serta mendaftar sebagai pemilih atas talian tetapi kita lanjutkan dan sasarkan sekurang-kurangnya 100,000 atau 10 peratus pemilih atas talian boleh memilih kali ini,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas meninjau pusat pencalonan bagi Selangor di Perpustakaan Komuniti di sini hari ini, beliau berkata bagi yuran tahunan pula, hanya calon yang ingin bertanding dikenakan bayaran RM2.
Sebelum ini, pemilih juga juga wajib membayarnya.
Buat julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Februari lepas.
Proses pengundian bagi pemilih atas talian ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.
Dr Zaliha juga berkata, ahli yang bersetuju menjadi pemilih atas talian tidak boleh mengundi secara fizikal.
Proses pemilihan PKR 2022 bermula semalam dengan pencalonan peringkat cabang sehingga esok manakala pencalonan bagi jawatan enam pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden serta lima jawatan utama Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita ialah pada 11 April.
Pencalonan bagi 20 Ahli Majlis Pimpinan AMK Pusat dan 20 Ahli Majlis Wanita Pusat pula pada 28 Mei. – Bernama