KUALA LUMPUR – Melihat kepada pelbagai spekulasi berkaitan syarikat Sapura Energy Berhad, pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) sehingga kini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Profesor Ekonomi UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berpandangan, PNB ada sebab tersendiri untuk tidak memberi sebarang reaksi berhubung kemelut Sapura.
“Pastinya kita mahukan lebih banyak maklumat rasmi dan sepantas mungkin berhubung perkara ini.
“Saya percaya PNB bukanlah berdiam diri sepenuhnya, setiap hari mereka pasti berbincang dan mencari cara seterusnya, pastinya mereka ada pilihan-pilihan yang perlu dibentangkan.
“Adakah A bagus, B juga bagus, C bagus, mereka harus memilih yang mana terbaik. Ini isu korporat dan kita serahkan kepada ahli lembaga pengarah untuk membuat penilaian dan kita berharap mereka akan tampil dengan keputusan terbaik,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG bertajuk Isu Sapura: Perlukah Kerajaan Terlibat?
Beliau berkata, pada masa sama, PNB juga tidak boleh terlalu tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan.
“Perkara sebegini kena sabar dan tenang. Bukan semua perkara boleh dibuat terus, saya beri contoh suatu ketika dahulu kes anggota bomba lemas dan selepas itu semua murid sekolah perlu belajar berenang, mana boleh macam tu.
“Setiap perkara perlu dikaji, dinilai dan meneliti kewajaran dan akhirnya satu keputusan harus dibuat,” jelasnya.
Beliau berkata, tidak ada sesiapa yang boleh menjanjikan setiap keputusan itu adalah sempurna.
“Kadang-kadang, ia mungkin keputusan yang membawa lebih banyak masalah, itu saya tidak pasti tetapi saya amat percaya perkara ini dibincangkan dan pilihan-pilihan itu dinilai dan insyaAllah kita berharap akan dengar bagaimana tindakan yang sewajarnya diambil oleh PNB. – MalaysiaGazette
PNB pun macam felda juga lah agaknya . Sapura tu macam global lah agaknya .