KUALA LUMPUR – Hanya menggunakan dua buah meja lipat di kaki lima sebuah bangunan, Nasi Lemak Beratur 7Eleven di Maluri menarik ratusan pelanggan yang sanggup berbaris lebih tiga jam untuk mencuba nasi lemak yang dijual.
Terletak di hadapan kedai serbaneka 7 Eleven, Jalan Perkasa 1, Maluri, Rahmah Bujai, 56 telah menjual nasi lemak sejak lebih 20 tahun lalu dengan harga RM2 sahaja.
Menurut Rahmah, sepanjang bulan Ramadan, waktu perniagaan diawalkan sejam, bermula 3 pagi berbanding hari-hari biasa.
“Sekarang, seorang maksimum boleh beli lima bungkus sahaja. Sebab kasihankan pelanggan lain yang berbaris panjang. Sebelum ni, ada yang beli berbelas bungkus seorang,” katanya sambil melayan pelanggan.
Tinjauan MalaysiaGazette sekitar jam 2 pagi hari ini mendapati lebih 50 pelanggan sudah pun mula berbaris.
Meskipun terpaksa berdiri di sepanjang kaki lima deretan bangunan kedai sejauh hampir 300 meter, rata-rata pengunjung tetap ceria dan sabar menanti giliran masing-masing.
Ada yang dilihat membawa kerusi lipat mudah alih supaya tidak perlu berdiri terlalu lama dalam barisan. Ada yang bergilir-gilir dengan pasangan untuk beratur, tidak kurang yang duduk bersila di atas kaki lima deretan kedai sementara menunggu meja jualan dibuka.
Bagi Syamimi Bokhari, 31 yang sudah menjadi pelanggan Nasi Lemak Beratur 7Eleven sekian lama, mengetahui permintaan yang tinggi, beliau telah mula menunggu sejak pukul 1 pagi lagi untuk membeli juadah sahur.
“Istimewanya nasi lemak ni, ‘portion’ nya banyak dan rasanya sedap. Kalau beratur panjang macam ni pun berbaloi,” jelasnya kepada MalaysiaGazette.
Namun, pernah terjadi apabila beliau tidak dapat membeli nasi lemak itu walaupun sudah beratur panjang kerana ada yang datang lebih awal daripadanya.
Pengalaman sama dikongsi Izzat Rahman, 28 yang datang kali kedua hari ini kerana nasi lemak itu habis terjual pada hari sebelumnya.
“Memang panjang beraturnya. Saya pun hairan, macam mana boleh panjang orang beratur semata-mata untuk nasi lemak,” katanya yang tidak sabar-sabar untuk mencuba makanan tersebut bersama isterinya.
Menghampiri jam 5 pagi, kami dapati kedua-dua tong nasi lemak telah pun habis. Kira-kira 10 pelanggan elihatan kecewa, termasuk Muhammad Ali, 26 yang datang ke sini dari Petaling Jaya.
Beliau tidak menyangka ramai telah beratur sejak tengah malam namun bukan rezekinya untuk merasai nasi lemak viral itu.
“Nasi lemak habis. Tapi takpe lah. Kalau ada lauk, beli lauk je lah. Nasi beli ditempat lain. Nak buat macam mana. Ramai sangat yang beratur. Tengoklah esok atau lusa saya cuba lagi,”ujarnya.
Selain nasi lemak biasa dengan lauk telur goreng, Rahmah juga menjual aneka jenis lauk pauk termasuk ayam masak merah, rendang dan sotong.
Beliau menyediakan kira-kira 14 ekor ayam setiap hari untuk dijual kepada pelanggan.
Namun, katanya, harga ayam dan sotong meningkat RM1 berbanding sebelum ini ekoran peningkatan harga barang, menjadi RM5 seketul ayam. – MalaysiaGazette