Home SISWA Hospital UMS lancar aplikasi konsultasi kesihatan

Hospital UMS lancar aplikasi konsultasi kesihatan

Pelancaran Aplikasi OHIDAS Wellness Toolkit baru-baru ini di Hospital UMS.

KUALA LUMPUR – Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) terus komited membantu masyarakat di negeri Sabah dengan memperkenalkan sebuah inovasi berasaskan konsultansi kesihatan.

Aplikasi OHIDAS Wellness Toolkit merupakan inovasi sulung HUMS yang menawarkan nasihat kesihatan melalui telemedicine secara terus daripada pakar perubatan dalam kalangan Pegawai Perubatan di HUMS.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, aplikasi tersebut adalah satu inovasi baharu yang dihasilkan bertujuan mendekatkan komuniti dan meningkatkan kualiti kesihatan termasuk bagi penduduk luar bandar di
Sabah.

”Objektif utama penghasilan aplikasi ini adalah untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat serta membantu usaha saringan awal kesihatan kepada komuniti dalam mendepani masalah kesihatan khususnya berkaitan ‘non-communicable disease’
seperti kencing manis, darah tinggi, barah dan lain-lain lagi.

”Penghasilannya juga bertunjangkan lima nilai teras utama yang diamalkan oleh Hospital UMS iaitu inovatif, penyayang, kolaboratif, memperkasa dan mampan,” katanya.

Tambah Taufiq, pendekatan utama yang diterapkan dalam aplikasi tersebut adalah promosi kesihatan, pencegahan penyakit, penjagaan kesihatan secara berterusan dan konsisten serta penjagaan kesihatan dari rumah di peringkat komuniti.

”Saya yakin dalam jangka masa yang singkat, penduduk luar bandar akan menerima pelbagai manfaat melalui penggunaan aktif dan konsistensi aplikasi ini.

”Saya percaya interaksi yang wujud dalam kalangan warga Hospital UMS dengan komuniti setempat melalui Program KPT Prihatin (KRISS) akan menjadi wadah dan penghubung di antara masyarakat dengan UMS,” ujar beliau.

Aplikasi OHIDAS Wellness Toolkit tidak hanya tertumpu kepada aspek perubatan, malah ia mampu membentuk cara pemikiran yang kritikal, kreatif dan dinamik ke arah perubahan gaya hidup sihat.

Sementara itu, Pengarah HUMS Profesor Dr. Helen Benedict Lasimbang berkata, OHIDAS turut menyediakan diari untuk menjejak data kesihatan peribadi, merekodpelan penjagaan diri dari segi kesihatan fizikal dan mental.

”Perkataan Ohidas merupakan bahasa Kadazan yang memberi maksud kesihatan.

Nama tersebut turut mewakili fungsi aplikasi ini yang membolehkan pengguna merekod kesihatan, ubatan dan alergi,” katanya.

Selain itu, OHIDAS juga turut menawarkan perkhidmatan ‘Tanya Pakar’ yang merupakan satu platform dalam talian untuk pengguna membuat temu janji bagi mendapatkan nasihat pakar perubatan tanpa mengunjungi Pusat Perubatan
Universiti.

”Rundingan kesihatan akan dilakukan melalui persidangan video dan sesi soal jawab bersama pakar yang terdiri daripada pelbagai bidang,” tambah Helen. – MalaysiaGazette