Home SISWA UCSI lancar IASDA

UCSI lancar IASDA

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI melancarkan Institut Sains Aktuari dan Data Analitik (IASDA) berikutan permintaan terhadap kepakaran aktuari dan data analitik terus meningkat.

Pengarah IASDA, Penolong Profesor Raymond Lo Eng Ping berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini permintaan terhadap kepakaran tersebut semakin tinggi ditambah dengan trend perniagaan dalam talian yang terus menjadi pilihan.

”Bidang ini masih belum mendapat perhatian daripada golongan muda sedangkan permintan terhadap tenaga mahir bidang ini semakin meningkat.

“Lebih-lebih lagi sekarang kita berada dalam pandemik yang menuju ke arah endemik. Permintaan terhadap kepakaran ini lebih tinggi memandangkan banyak perniagaan yang beralih kepada dalam talian, lebih banyak data yang perlu diproses,” katanya.

Menurut beliau, graduan bidang sains aktuari dan data analitik ini boleh menceburi pelbagai bidang termasuk perbankan, kewangan, insurans, pelaburan, jualan, pemasaran, pengurusan risiko dan pengurusan kekayaan sebagai penganalisis kredit, penasihat kewangan, perunding aset/pelaburan, penganalisis risiko, penganalisis bajet dan banyak lagi.

Menurut Raymond, kesemua program di bawah IASDA diiktiraf badan akreditasi profesional antarabangsa, Persatuan Aktuari (SoA) dan Institut dan Fakulti Aktuari (IFoA).

Program yang ditawarkan IASDA termasuk Doktor Falsafah Sains Matematik, Sarjana Sains Pengurusan Aktuari, Sarjana Sains Matematik, Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Sains Aktuari dan Kewangan serta Asasi Sains Aktuari.

Sehingga kini, UCSI telah memiliki lebih 1,400 pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang tersebut sama ada untuk pengajian ijazah pertama mahupun pascasiswazah.

Sementara Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan Universiti UCSI (kampus Kuala Lumpur), Profesor Datuk Dr Rohana Yusof, FASc berkata UCSI mensasarkan kepada bakat muda untuk melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri.

”Untuk lahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang, UCSI percaya ini adalah masa terbaik untuk mewujudkan IASDA. Kami sasarkan untuk lahirkan lebih ramai bakat muda untuk menyertai profesion ini selain memenuhi keperluan industri.

”Bagi memenuhi jurang signifikan kekurangan kepakaran itu terutama dalam bidang sains aktuari dan data analitik, IASDA akan menjadi ruang kepada pengembangan bakat dengan mendedahkan pelajar kepada industri dan ekonomi yang dipacu data. Setakat ini UCSI sudah melahirkan 668 graduan dari bidang pengajian ini,” katanya. – MalaysiaGazette