Home Seni Hidup Radio ZAYAN promosi cara hidup masyarakat Islam kotemporari

Radio ZAYAN promosi cara hidup masyarakat Islam kotemporari

Barisan penyampai Radio ZAYAN.

KUALA LUMPUR – Keadaan semasa terus mencabar walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik dan mereka yang terbabit dalam pelbagai bidang pekerjaan perlu terus berusaha dan menjadi  lebih kreatif.

Situasi sama turut dirasai oleh pasukan kerja Radio ZAYAN.

Pengurus Kandungannya, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, ZAYAN terus mengambil langkah berhati-hati dan jika keadaan memerlukan, penyampai akan bersiaran dari rumah.

“Cabaran yang menanti adalah untuk  memantapkan persembahan dengan cara yang lebih kreatif.

“Kalau bersiaran dari rumah, pengisian mestilah lebih terkini, padat dengan perkembangan mengenai isu semasa yang dapat membantu mereka yang terkesan akibat pandemik C19,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas Wan Syahrul Amry, bertepatan dengan konsep Islamik yang menjadi tunjang utama ZAYAN dalam arena penyiaran negara, radio ini membawa pendekatan mempromosikan cara hidup masyarakat Islam yang terkini dan kotemporari.

Katanya, kandungan ZAYAN mestilah yang boleh dijadikan inspirasi kepada pendengar sasaran berusia dari 18 hingga 35 tahun.

“Kapsul nasihat disertakan hadis, sirah dan doa dengan selingan lagu nasyid yang bukan saja menghiburkan tetapi memberi manfaat kepada pendengar terutama pada situasi hari ini di mana masyarakat yang terkesan sangat memerlukan kata-kata semangat, nasihat dan panduan.

“Sejak ZAYAN ditubuhkan pada 2 Oktober 2017,  kelebihan ZAYAN ialah pada DNA nya yang tidak sama dengan radio lain. Identiti radio ini yang mahu mendekati golongan muda menampilkan konsep  persembahan  yang lebih segar, pengisian bersifat kontemporari dan akan terus mengekalkan keunikan yang ada.

“Kandungan ZAYAN lebih kasual, bersahaja dan santai serta bersesuaian dengan gaya hidup muslim.  Meskipun informasi  Islamik tetapi ia disampaikan dengan cara yang lebih ringan agar mudah menyerap ke jiwa pendengar.

“Alhamdulillah, selepas hampir lima tahun bersiaran, sambutan pendengar terhadap radio ZAYAN menunjukkan peningkatan yang ketara,” kata Wan Syahrul Amry.

Wan Syahrul Amry Wan Mansor.

Bercakap mengenai cabaran, beliau berkata, bagi mengekalkan keunikan ZAYAN, Wan Syahrul Amry  memberitahu, pasukannya terpaksa bekerja keras berbanding saluran komersial lain, sentiasa melakukan kajian dan peka kepada keperluan pendengar.

“Kami tidak mahu kandungan ZAYAN kelihatan klise. Ia mestilah terkini  kerana kami mahu mereka yang tercari-cari aplikasi kandungan Islam akan memilih ZAYAN.

“Pada awal tahun ini juga dengan mengambil pandangan dan gabungan idea daripada  JAKIM ( Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Munsyid Malaysia, rakan selebriti dan ustaz-ustaz, ZAYAN menganjurkan program USRAH ZAYAN #jomsolat sambil solat Maghrib dan Isyak berjemaah di dataran MaTiC (Pusat Pelancongan Malaysia).

“Kami mahu menjadi penentu arah aliran yang Islam itu indah dan boleh bersolat di mana sahaja dengan syarat tetap mengikut hukum syarak. Program itu juga adalah platform berdakwah secara santai sambil meraikan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, ZAYAN mengadakan beberapa program khusus untuk Ramadan ini seperti Satu Hari Satu Surah Bersama Ustaz Mohd. Gunawan Che Abd Aziz dan Mahir Bahasa Arab melalui al-Quran bersama Ustaz Taufik Yusof.

Kedua-dua program khas itu disisipkan dalam segmen ZAYAN Salam Bros.

Menerusi slot ZAYAN Salam Sis pula diselitkan Tadabbur Al-Quran manakala pada sebelah malam bermula pukul 10 hingga 1 pagi adalah topik perbincangan berkenaan Ramadan dan Salam Sahur ZAYAN. – MalaysiaGazette