KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai gerangan jejaka yang berjaya mengisi kekosongan hati penyanyi Mas Idayu akhirnya terjawab apabila dia memilih Penerbit Eksekutif di TV3, Sufian Isa sebagai bakal suaminya.
“Saya sendiri memang tidak menjangka sama sekali akan melalui semula fasa perkawinan. Selama 15 tahun hidup sendiri, hanya beberapa tahun lalu saya berdoa agar ditemukan jodoh yang baik.
“Siapa sangka jodoh saya dengan insan yang sering bekerjasama. Bermula dengan usikan rakan-rakan semasa program Lagu Cinta Kita (LCK) akhirnya membawa kepada hubungan yang serius. Peserta LCK tak kahwin, kami pula yang akan berkahwin,” ujarnya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkembangan hubungan mereka, penyanyi itu memberitahu, Sufian sudah pun datang berjumpa kakak sulungnya.
Jelasnya lagi, untuk persiapan pula sekarang ini sudah 30 peratus dan sudah ada beberapa lokasi yang sedang dipilih untuk majlis nanti.
“Sebenarnya tiada istilah dia melamar saya kerana masing-masing faham isi hati. Dia terus cakap nak jumpa keluarga saya yang kebetulan datang dari kampung.
“Tentu saja saya gembira. Bukan kerana nak kahwin, tapi lebih pada saya dipertemukan dengan lelaki yang boleh menjaga saya. Malah, anak saya juga yang aturkan tempat untuk kami berjumpa empat kali.
Sebelum ini, Mas Idayu juga penyanyi lagu Cintaku 100% pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006.
Menerusi perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun. – MalaysiaGazette