Home Politik Pemilihan PKR: Ahli yang tentukan pilihan mereka – Anwar

Pemilihan PKR: Ahli yang tentukan pilihan mereka – Anwar

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhak untuk memilih sesiapa sahaja yang pemimpin yang mereka mahukan di peringkat nasional.

Lantaran itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semua calon yang bertanding pada pemilihan kali ini untuk tidak membuat janji-janji kosong kepada ahli-ahli.

“Saya restu pertandingan yang sihat, yang punya kelayakan dan kewibawaan untuk memimpin. Siapa yang tentukan, ahli-ahli PKR yang tentukan.

“Kalau ahli yang pilih itu kerana janji, saya nak bagitahu sebagai presiden, jika saya kekal presiden, setakat ini saya belum janjikan bagi sesiapa termasuk saya.

“Jadi orang yang janji itu adalah pendusta, jangan kita tertipu dengan cara sedemikian kerana ia tidak membantu,” katanya dalam satu video semalam.

Jawatan bagi Timbalan Presiden PKR menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon lama, Rafizi Ramli dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Perkara itu dizahirkan kedua-dua mereka tatkala pemilihan bagi parti itu ditetapkan pada 22 hingga 29 April manakala Kongres Nasional dari 10 hingga 12 Jun ini.

Justeru itu, Anwar menasihatkan kepada semua calon-calon yang bertanding agar memainkan peranan masing-masing untuk memartabatkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak.

“Semoga dapat jalankan tugas dengan baik, dan bila masa pertanding parti mereka berhempas pulas lain macam, yang tidak pernah nampak dia menonjol. tetapi selepas itu dia tenggelam tanpa suara dan berita.

“Yang terbaik dapat menilai adalah ahli-ahli PKR dan gunakan sebaiknya supaya kita buat amal untuk kebaikan semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette