KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengakhiri kemarau lima tahun tanpa gelaran apabila muncul juara kejohanan badminton Terbuka Korea hari ini.
Lebih manis, pasangan Malaysia itu meraih kejuaraan tersebut selepas menewaskan gandingan tuan rumah Ko Sung Hyun-Eom Hye Won dalam aksi final yang berlangsung selama 50 minit di Stadium Palma, Suncheon.
Merupakan pertemuan kali ketiga buat kedua-dua pasangan itu, Kian Meng-Pei Jing beraksi cemerlang untuk melebarkan rekod dua kemenangan sebelum ini apabila sekali lagi menundukkan pasangan Korea Selatan itu dengan straight set.
Ketinggalan satu set, Sung Hyun-Hye Won cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun usaha mereka gagal apabila pasangan Malaysia itu terus mendominasi perlawanan untuk merekodkan kemenangan 21-18.
Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Kian Meng-Pei Jing muncul beregu Malaysia pertama meraih gelaran di Terbuka Korea. – MalaysiaGazette