Home Utama Tiada niat lewatkan, Akta Lompat Parti dibentang Julai depan – PM

Tiada niat lewatkan, Akta Lompat Parti dibentang Julai depan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat Julai depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, tempoh itu disasarkan selepas perbentangan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengambil tempat esok.

“Sasaran kerajaan untuk bentangkan Akta Anti Lompat Parti ini pada sesi bulan Julai nanti. Walaubagaimanapun ia tergantung kepada pertama kita akan bergantung kepada Jawatankuasa Khas nanti.

“Secepat mana jawatankuasa itu boleh mencadangkan untuk dibentangkan dalam Kabinet untuk persetujuan. Selepas itu maka kita boleh bentangkan segera di Parlimen.

“Tidak ada niat bagi kerajaan untuk melewatkan atau tidak membentang akta ini,” katanya dalam sidang media selepas mengikuti taklimat khas RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Sri Endon, Puspanita hari ini.

Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 esok bertujuan membolehkan sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan dikenakan terhadap Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Jelas Ismail Sabri, kerajaan berharap agar pindaan yang dibentangkan esok akan dapat diluluskan dengan majoriti dua pertiga.

Ini kerana pindaan itu perlu dibuat bagi membolehkan kerajaan membentangkan RUU Akta Anti Lompat Parti.

“Tanpa pindaan kepada Perkara 10, mana-mana undang-undang pun yang dibentangkan, diluluskan tak boleh terpakai kerana akan bertentangan dengan Perkara 10.

“Seperti kita tahu, DUN Kelantan buat pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh, tidak benarkan lompat parti.

“Tapi kerana Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda, jadi pindaan Undang-Undang Tubuh Kelantan tidak boleh terpakai sebab itu, kita kena pinda Perkara 10, dan ini yang akan dilakukan esok,” jelasnya lagi.

Sekiranya pindaaan esok diluluskan maka satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan kerajaan bagi meneliti dan menggubal sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

“Kita akan wujudkan Jawatankuasa Khas yang akan teliti dan gubal akta ini.

“Jawatankuasa ini akan terdiri daripada wakil kerajaan, malah wakil pembangkang dan mungkin kita juga akan jemput ahli akademik yang pakar dalam perlembagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette