Home Politik Bekas MB Terengganu nafi sedia lepas kerusi DUN Seberang Takir

Bekas MB Terengganu nafi sedia lepas kerusi DUN Seberang Takir

Ahmad Razif Abd.Rahman
Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menafikan dakwaan kononnya beliau sanggup melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ahmad Razif berkata beliau tidak pernah membuat kenyataan tersebut dan terkejut apabila ramai yang bertanyakan soalan mengenainya sejak malam tadi, setelah satu hantaran Facebook berkaitan perkara itu tular melalui akaun ‘Terengganu Repot’.

Beliau berkata hantaran di akaun tersebut turut melampirkan gambarnya ketika sidang media Mohd Khairuddin pada majlis berbuka puasa bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di sini pada Jumaat lepas.

“Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa status Facebook tersebut adalah tidak benar, palsu dan adalah fitnah berat yang dilemparkan kepada saya bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai ADUN Seberang Takir.

“Laporan itu juga langsung tidak masuk akal, lawak, karut dan memalukan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Lebih menyedihkan apabila fitnah sedemikian telah disebarkan pada bulan Ramadan yang mulia,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Ahmad Razif menegaskan gambar berkenaan diambil ketika beliau hadir ke majlis yang turut dihadiri ADUN lain di bawah Parlimen Kuala Nerus.

“Majlis tersebut juga turut dihadiri Datuk Seri Dr Khairuddin selaku Pengerusi (PAAB) dan tiada sebarang kenyataan pun dikeluarkan oleh saya, apatah lagi sebagaimana dilaporkan oleh akaun Facebook ‘Terengganu Repot’ tersebut.

“Marilah kita mengisi Ramadan dengan penuh rahmat dan hikmah serta menjauhkan diri daripada sifat fitnah, hasad dengki dan buruk sangka,” katanya.

Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada Mei 2014, namun Barisan Nasional tewas pada PRU-14 dan negeri itu kemudiannya diperintah oleh PAS.

— BERNAMA