Home Seni Hidup Harga bufet tak masuk akal Dutch Harbour Cafe

Harga bufet tak masuk akal Dutch Harbour Cafe

Orang ramai menikmati pemandangan Sungai Melaka sebelum berbuka puasa di Dutch Harbour Cafe.

MELAKA – Ketika kebanyakan peniaga meletakkan harga yang tinggi untuk bufet Ramadan,  sebuah kafe terkenal di tepi Sungai Melaka di sini pula menawarkan harga yang tidak masuk akal.

Bagi pemilik Dutch Harbour Cafe, Azhar Abu Rais,60, harga juadah bertemakan buffet by the river serendah RM18.90 dan RM29.90 seorang ditawarkannya demi memenuhi niatnya berniaga sambil bersedekah di bulan Ramadan.

Tawaran itu juga supaya pelanggan tidak perlu lagi berfikir panjang untuk berbuka puasa dalam suasana terbuka dan eksklusif sambil menikmati pemandangan bot pelancongan Sungai Melaka, Melaka River Cruise (MRC) di luar restorannya itu.

“Atas sebab itu, saya nekad meletakkan harga bufet dengan pilihan 20 juadah masakan kampung pada harga cuma RM29.90 dewasa dan RM18.90 kanak-kanak, jauh lebih murah untuk suasana begini yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka.

Berkonsepkan buffet by the river harga ditawarkan Dutch Harbour Cafe juga bertujuan bersedekah sambil berniaga sepanjang Ramadan ini.

“Bagi saya, Ramadan adalah bulan bersedekah, jadi cukuplah asalkan saya dapat bantu pelanggan berjimat dan lepas bayar gaji 15 pekerja serta dua chef, itu sudah memadai walaupun perniagaan kafe ini juga terjejas selamat tiga tahun ditutup akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Mungkin sebab harganya yang terlalu murah juga, alhamdulillah, pakej  ini sudah penuh ditempah sehingga 25 April ini namun orang ramai boleh cuba walk in jika masih ada ruang bergantung pada keadaan cuaca,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Azhar yang sudah 15 tahun menjalankan perniagaan di situ berkata, antara 20 jenis juadah ditawarkan adalah asam pedas tetel, ikan patin masak tempoyak, ayam masak merah, bubur, kuih, buah-buahan, cendol dan pelbagai jenis air.

Suasana terbuka berbuka puasa berkonsepkan ‘buffet by the river’ ditawarkan Dutch Harbour Cafe serendah RM18.90 dan RM29.90 seorang.

“Kami tidak menawarkan terlalu banyak hidangan kerana mahu memastikan setiap juadah itu memenuhi citarasa pelanggan dan dimasak hanya untuk 100 hingga 150 pelanggan bagi menjaga kualiti rasa masakannya.

“Selesai berbuka puasa, pelanggan juga boleh menggunakan surau lelaki dan wanita yang disediakan di tingkat atas kafe,” katanya.

Tambahnya, selain penyediaan bufet, Dutch Harbour Cafe yang lebih dikenali dalam kalangan pelancong warga asing itu juga menawarkan pelbagai jenis hidangan Barat selain masakan tempatan seperti daging salai, laksa nyonya, rendang, daging dendeng dan nasi lemak selepas Aidilfitri ini.

Untuk sebarang promosi, menu dan tempahan orang ramai boleh melayari Facebook DutchHarbourCafe.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.