Home Politik Ramanan tak gentar berdepan calon heavyweights

Ramanan tak gentar berdepan calon heavyweights

Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk R Ramanan

KUALA LUMPUR -Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk R. Ramanan  tidak sesekali gentar untuk berhadapan calon heavyweights bagi pertandingan Ketua Cabang Sungai Buloh pada pemilihan parti Mei depan.

Timbalan Pengarah Strategi PKR itu pada awalnya hendak bertanding Naib Presiden akhirnya membuat ketetapan untuk hanya mencuba nasib jawatan peringkat cabang bagi Sungai  Buloh.

Setakat artikel ini ditulis, antara calon sah bertanding bagi kerusi yang turut di anggap sebagai panas itu adalah penyandang terdahulu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa dan Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Khairuddin Othman.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, Ramanan menyatakan dirinya cukup selesa dengan Sungai Buloh yang dahulunya lebih di kenali sebagai Subang sebelum pelaksananaan Persempadanan Semula sekitar tahun 2018.

Ramanan bukan asing dalam dunia politik apatah lagi merupakan cucu kepada Tan Sri Dr. Devaki Krishnan itu pernah bersama MIC selama beberapa tahun selain memegang jawatan tertinggi pusat termasuklah Bendahari Agung parti itu sebelum bertindak keluar dan menyertai PKR pada 2019.

Kata Ramanan, Sungai Buloh sememangnya sudah lama bertapak dalam hatinya lagi-lagi dengan tunjuk ajar mentor beliau, mendiang Tan Sri KS Nijhar yang juga mantan Ahli Parlimen Subang mewakili MIC satu ketika dahulu.

“Jika anda tanya saya mengapa Sungai Buloh, begitu banyak jawapan yang saya boleh berikan, memang tidak habis kita hari ini tetapi yang paling utama, ini adalah satu penghormatan yang hendak saya beri kepada mentor saya, Tan Sri KS Nijhar.

“Persabahatan saya dengan mendiang Tan Sri Nijhar sudah lama, beliau yang sebenarnya telah mengajar saya selok belok politik malah Subang sentiasa dalam hatinya. Kerana itu juga saya telah aktif dalam mendekati masyarakat Subang kini Sungai Buloh bukan sehari dua tetapi lebih 10 tahun.

“Lokasi strategik buat saya yang telah lama bersama masyarakat di situ. Demografi penduduk juga amat saya arif selama ini. Saya tidak lihat diri saya mahu lawan seseorang yang senior di Sungai Buloh seperti YB Sivarasa yang sudah beberapa penggal menang sebagai Ketua Cabang, saya juga tidak rasa wakil rakyat seperti YB Khairuddin sebagai pencabar.

Pemilihan PKR 2022 bagi peringkat cabang telah bermula sejak Jumaat lepas dan berakhir pada 11.59 malam tadi sebelum senarai calon akan dipaparkan di aplikasi dan laman sesawang ADIL sebelum tempoh bantahan dibuka selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 April.

Ia diikuti pemakluman bantahan pada 15 April manakala tempoh rayuan bermula 16 hingga 18 April sebelum senarai muktamad calon dipamerkan pada 19 April.

Pemilihan PKR akan menyaksikan ahlinya memilih enam jawatan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden selain kepimpinan tertinggi sayap serta cabang.

Dalam pada itu kata Ramanan lagi, beliau cukup teruja dengan pemilihan parti dengan rata-rata ahlinya begitu positif untuk mengundi calon masing-masing dirasakan layak memimpin mereka.

“Persaingan sihat, pertandingan lebih penjuru menunjukkan betapa parti ini mengamalkan demokrasi dan kebebasan untuk ahlinya menentukan hala tuju, pastinya ‘Ketua’ kami adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi kita dengan baik sekali.

“Ada juga pihak mengatakan PKR seperti tidak relevan kerana tidak menang beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum-sebelum ini, saya katakan kepada anda, kami masih lagi yang paling popular dalam kalangan pengundi, fakta dan bukti itu ada.

“Pemilihan parti kali ini juga akan mengukuhkan kedudukan kita selepas ini, anda akan lihat kepimpinan kita akan mempunyai muka lama dan baharu dalam mendepani pilihan raya umum kelak, kita ini tidak banyak bunyi, jarang keluar media kecuali yang sensasi tetapi hakikatnya diam-diam berisi,” ujarnya.

Pemilihan PKR kali ini akan menyaksikan hampir 1.2 juta ahli parti layak mengundi memilih seorang Presiden dan Timbalan Presiden serta empat Naib Presiden manakala pada 13 dan 18 Mei manakala pemilihan MPP akan diadakan pada kongres PKR Jun ini.

Tempoh pengundian bagi kaedah fizikal dijadualkan bermula 13 hingga 17 Mei, manakala undian dalam talian menggunakan aplikasi ADIL atau laman sesawang ADIL pula berlangsung pada 18 hingga 20 Mei depan. -MalaysiaGazette