Home Politik Bukan lompat jika keputusan dibuat oleh parti – Tun M

Bukan lompat jika keputusan dibuat oleh parti – Tun M

Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Sebuah parti yang menyertai sebuah gabungan lain bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah tidak sepatutnya ditakrif sebagai melompat parti.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keadaan tertentu memerlukan  lompatan dilakukan dan keputusan perlu dibuat oleh parti dan bukannya oleh individu.

“Tetapi adakalahnya kita perlu kepada keadaan tertentu memerlukan lompatan dilakukan, umpamanya kalau dalam pilihan raya tidak ada satu pun parti yang mendapat  majoriti mudah, maka untuk mendapat simple majoriti parti lain hendaklah menyertainya dalam satu gabungan.

“Ini bukanlah acara lompat kalau keputusan dibuat oleh parti bukan oleh individu yang ditarik dengan kemungkinan dilantik sebagai menteri umpamanya,” kata Mahathir dalam Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu, menurutnya perlu diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 bermula hari ini bagi membolehkan RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Antilompat Parti dibentang, dibahas dan diluluskan.

Tambah Mahathir, melompat parti menimbul banyak masalah dan ia menafikan sistem demokrasi iaitu wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat boleh tukar parti sesuka hati membawa kejatuhan kerajaan.

“Dengan itu kita lihat politik dalam negara ini tidak stabil, setelah ditukar kerajaan melalui lompatan maka ada pulak tindakan menarik sokongan daripada perdana menteri pintu belakang dan satu lagi perdana menteri dipilih.

“Dan Perdana Menteri yang baru ini pun tak dapat banyak sokongan dan takut kemungkinan dia juga akan ditamatkan edah sebagai PM,” katanya.

Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu menyokong agar undang-undang berkaitan lompat parti diwujudkan.

Menurut Mahathir undang-undang lompat parti perlu merangkumi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan senator yang dilantik di Dewan Negara. – MalaysiaGazette