Home Politik Fahmi Zainol, Adam Adli rebut jawatan Ketua AMK PKR

Fahmi Zainol, Adam Adli rebut jawatan Ketua AMK PKR

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fahmi Zainol bercakap kepada media selepas menghantar borang pencalonan jawatan AMK pada Pemilihan Keadilan 2022 di Pejabat PKR, Petaling Jaya.Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Pemilihan di peringkat Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara dua aktivis mahasiswa iaitu Fahmi Zainol dan Adam Adli Abdul Halim.

Fahmi ketika ditemui media selepas mengemukakan pencalonannya berkata, beliau mengetengahkan tiga dasar utama kepada ahli-ahli PKR.

“Kami akan bergerak untuk memenangi golongan undi 18 dan undi pertama, meningkatkan peratusan calon khususnya orang muda dalam AMK bagi menghadapi PRU15, dan tingkatkan keupayaan kekuatan AMK dengan beberapa perancangan.

“Tiga dasar utama ini kami tawarkan kepada kawan, ahli-ahli PKR seluruh negara,” katanya hari ini.

Fahmi turut dibarisi calon-calon lain antaranya calon Timbalan Ketua AMK, Chua Wei Kiat dan Naib Ketua Izwan Kassim.

Dalam pada itu, bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim menyifatkan pertembungan beliau dengan Fahmi merupakan pertandingan adik beradik.

Biarpun nampak berlaku perebutan jawatan Ketua AMK namun Adam Adli berkata, perkara itu tidak boleh disifatkan sebagai perpecahan dalam parti.

“Tidak ada nak tunjuk satu puak, dua puak  dan tiga puak dan sebagainya. Proses pemilihan memang begitu. Tetap kena ada calon, tetap kena ada pertandingan dan itu adalah proses demokrasi.

“Kerana untuk menjadi pemimpin hari ini perlukan mandat yang diberikan oleh anggota dalam organisasi ini. Sebab itu kita kena tetap adakan pemilihan,” katanya dalam sidang media berasingan. 

Dalam pemilihan AMK kali ini, Adam Adli berganding dengan Exco AMK Perak, Muhammad Kamil Abdul Munim yang akan bertanding jawatan Timbalan Ketua.

Selain Fahmi beliau juga akan bersaing dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat.

Dalam pada itu, Adam Adli berkata, pihaknya akan memastikan bahawa pemilihan pada kali ini berlangsung dalam suasana harmoni dan mencapai matlamat bagi mengukuhkan organisasi serta parti.

“Ini peluang untuk masing-masing. Peluang bukan untuk menonjolkan siapa yang layak untuk menjadi pemimpin tetapi inilah peluang yang kita patut guna untuk tonjolkan apa idea dan pembaikan yang kita nak bawa.

“Sepanjang tempoh kempen (pemilihan), ini adalah peluang kita berkongsi idea, pandangan dan pendapat yang membawa kebaikan kepada parti,” ujarnya. – MalaysiaGazette