GEORGE TOWN – Taktik seorang ibu tunggal mendakwa memerlukan bantuan untuk menyara empat anak di Facebook akhirnya terbongkar apabila empat individu tampil mendedahkan penipuannya.
Wanita yang menggunakan nama ‘Kwan Tn’ itu menagih simpati orang ramai memberi alasan memerlukan kos perbelanjaan bulanan buat anak serta dirinya yang didakwa menjadi mangsa keganasan rumahtangga.
Status mengenai kesusahan diri serta anak-anaknya akan dimuat naik setiap hari di Facebook miliknya dalam bahasa Mandarin sekali gus menagih simpati orang ramai sebelum mereka tampil secara sukarela untuk membantunya.
Bagaimanapun, situasi berbeza bagi mangsa lelaki apabila mereka yang simpati dengan keadaannya kemudian akan terjerat dengan ugutan gambar serta perbualan lucah.
Menurut seorang wanita, Yeang Lai Yim, 59, perasaan simpati terhadap ‘Kwan Tn’ itu timbul selepas terbaca statusnya yang memaklumkan memerlukan bantuan dengan memuat naik beberapa keping gambar anak yang mempunyai kesan cedera akibat dipukul suaminya.
Mengakui dirinya mudah tersentuh membabitkan kesusahan ibu tunggal membuatkan Lai Yim menghubungi wanita itu dan memberikan bantuan kewangan.
“Saya mula kenal dia pada November 2018 kemudian dalam tempoh hampir setahun saya pinjamkan dia RM13,500 secara keseluruhan kononnya dia mahu selesaikan kes pemceraian di mahkamah dan janji akan bayar semula selepas mendapat nafkah penceraian daripada suaminya.
“Bagaimanapun pada April 2019 saya mendapat perkhabaran daripada rakan yang mendakwa wanita itu mengguna taktik sama untuk mendapatkan wang.
“Sedar akan ia merupakan satu penipuan untuk mendapatkan wang saya dari Johor datang ke Pulau Pinang untuk berjumpa dengannya untuk meminta dia bayar semula hutang namun sehingga hari ini dia hanya bayar RM1,000 sahaja,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister di sini hari ini.
Tambah Lai Yim, dia sudah membuat laporan polis namun sehingga kini mendapati wanita itu masih aktif di media sosial menggunakan modus operandi sama untuk memperdayakan orang lain.
Menurut seorang lagi mangsa, Vincent Lim, sama seperti orang lain dia juga terpedaya dengan status kesusahan wanita itu sebelum memintanya berjumpa di Taman Lip Sin di sini sebagai bukti dirinya susah.
“Dalam tempoh beberapa bulan semuanya berjalan lancar yang sama setiap perjumpaan kami di tempat awam saya akan beri RM100 hingga RM200 untuk kegunaan dia dan anak-anak.
“Bagaimanapun, selepas itu wanita berkenaan menghantar mesej perbualan lucah serta gambarnya bagi menjerat saya. Taktiknya tidak berjaya kerana saya memuat naik semua perbualan itu di media sosial dan ketika itu ramai pengguna Facebook meluahkan mereka menjadi mangsa modus operandi yang sama.
“Saya harap dengan pendedahan ini ramai lelaki tampil membuat laporan agar pihak berkuasa dapat jalankan siasatan selain tiada lagi orang awam menjadi mangsa penipuan serta ugutan wanita itu,” jelasnya.
Sementara itu, jurucakap wanita Gerakan Pulau Pinang, Heng See Lin meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera berhubung isu ini agar tiada mangsa terpedaya dengan helah wanita tersebut.
“Isu ini serius kerana mangsa yang ditipu bukan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang ia membabitkan seluruh negara cuma bilangan yang tampil membuat laporan polis dikatakan tidak ramai.
“Ada yang tak mahu buat laporan sebab bimbang dengan ugutan dibuat wanita itu dan ada pula yang mengalami kerugian sedikit. Jadi harap satu tindakan diambil bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang kepada orang lain,” kata See Lin. – MalaysiaGazette