BATU PAHAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai kira-kira RM628,800 di perairan Parit Raja, Pontian hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, dalam rampasan yang berlaku pukul 6.30 pagi itu pihaknya berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 12 kilogram yang dibungkus dalam plastik lut sinar.
“Ketika operasi dilakukan pihak kami telah terserempak dengan sebuah bot mencurigakan disyaki bot nelayan asing yang dikendalikan dua lelaki dan diarahkan berhenti.
“Namun bot berkenaan terus memecut laju dengan menukar arah menuju ke beting batu Parit Raja, Pontian,” katanya ketika sidang media di Bilik Mesyuarat Zon Maritim Batu Pahat dekat sini hari ini.
Dalam kejadian itu, dua suspek bertindak melarikan diri ke daratan dan meninggalkan bot di benteng batu di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan kami ke atas bot berwarna coklat dan tanpa nombor pendaftaran itu dipercayai milik nelayan asing. Hasilnya juga pihak kami berjaya menemukan sepucuk pistol angin berisi tiga butir peluru dalam sebuah beg sandang serta telefon bimbit.
“Sebuah tong ikan berwarna oren mengandungi satu bungkusan beg plastik berwarna merah mengandungi 12 paket hablur kaca disyaki dadah jenis syabu,” katanya.
Menurut Simon, kesemua bahan bukti dirampas dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat serta kes disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1980.
Dadah berkenaan menurutnya dipercayai ingin diseludup keluar ke Indonesia.
Jumlah penggunaannya boleh menampung sebanyak 60,000 orang penagih dadah.
Katanya, sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-432 2020 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.-MalaysiaGazette