KUALA LUMPUR – Jualan Perdagangan Borong & Runcit Malaysia merekodkan RM117.2 bilion pada Februari untuk mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun 8.5 peratus.
Peningkatan ini bagi perdagangan borong & runcit pada Februari lalu disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Runcit dengan peningkatan sebanyak RM4.5 bilion atau 10.2 peratus untuk mencatatkan RM48.8 bilion.
Perdagangan borong juga berkembang dengan 6.2 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM55.9 bilion.
Dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor melonjak 12.5 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM12.5 bilion.
Bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong & runcit menurun -2.5 peratus, disebabkan oleh subsektor perdagangan borong yang menguncup -4.7 peratus.
Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 10.2 peratus pada Februari 2022 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 15.9 peratus atau RM2.5 bilion kepada RM18.3 bilion.
Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit bahan api kKenderaan 18.1 peratus, jualan runcit barangan isi rumah 9.8 peratus, jualan runcit di kedai pengkhususan 5.6 peratus, jualan runcit makanan, minuman & tembakau 8.6 peratus, jualan runcit barangan kesenian & rekreasi 5.7 peratus, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar 25.9 peratus dan jualan runcit di gerai & pasar 8.8 peratus.
Bagi perbandingan bulanan, nilai jualan subsektor merosot -0.4 peratus.
Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, kenaikan 6.2 peratus disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang mencatatkan RM22.3 billion, meningkat 6.0 peratus atau RM1.2 bilion.
Ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau dengan 9.2 peratus untuk merekodkan RM10.9 bilion.
Jualan borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup turut meningkat 15.9 peratus kepada RM4.7 bilion.
Bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, perdagangan borong menurun -4.7 peratus disebabkan oleh jualan borong barangan isi Rumah yang jatuh sebanyak -8.2 peratus. – MalaysiaGazette