Home SISWA UTeM komited kongsi kepakaran jayakan agenda pembangunan Melaka

UTeM komited kongsi kepakaran jayakan agenda pembangunan Melaka

Massila Kamalrudin semasa mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukuhkan hubungan strategik dengan kerajaan negeri Melaka serta komited berkongsi kepakaran dimiliki bagi bersama menjayakan agenda pembangunan berterusan negeri ini.

Perkara ini antara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Massila Kamalrudin semasa mengadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Massila berkata, sebagai sebuah universiti awam teknikal berprestij yang terletak di negeri Melaka maka sudah tentu UTeM sentiasa bersama sebagai ejen penyumbang kepada pembangunan segenap sektor di negeri bertuah ini.

Jelasnya, UTeM sedia dan sentiasa komited berkongsi kepakaran yang dimiliki menerusi pelbagai bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengurusan teknologi untuk bersama menjayakan agenda pembangunan negeri.

Ujarnya, UTeM turut sama menyemarakkan sektor pelancongan Melaka yang mana UTeM sendiri telah menjadi salah satu ikon destinasi pelancongan berkonsepkan pendidikan tinggi di negeri ini.

”Menyentuh aspek teknikal dan kejuruteraan pula UTeM menyumbangkan kepakaran dalam membangunkan prototaip beca elektrik (e beca) yang akan membentuk wajah baharu lanskap perkhidmatan beca di negeri ini agar lebih seiring dengan kemajuan teknologi semasa namun mengekalkan imej dan keunikan sedia ada Melaka.

”Sehubungan itu, UTeM turut menyumbangkan khidmat nasihat dan kepakaran teknologi bagi memantapkan lagi proses penjagaan kebersihan sungai Melaka agar terus berdaya tarikan tinggi buat sektor pelancongan negeri ini,” ujarnya lagi sewaktu memberikan kenyataan selepas pertemuan tersebut.

Massila menyatakan banyak lagi inisiatif telah dijayakan oleh UTeM termasuklah sebagai penasihat dan penyumbang kepakaran teknikal bagi gerak kerja dan pengisian banyak projek-projek berkaitan Melaka Smart City.

Pada masa yang sama beliau menyatakan UTeM turut menghargai dan berterima kasih atas sokongan hebat Kerajaan Negeri Melaka terhadap UTeM sebagai sebuah universiti awam teknikal di negeri ini yang terus menyemarakkan agenda pemerkasaan agenda pengajian tinggi teknikal berprestij untuk Malaysia dan juga persada dunia. – MalaysiaGazette