Home Politik Anwar menang tanpa bertanding, dua calon rebut timbalan presiden

Anwar menang tanpa bertanding, dua calon rebut timbalan presiden

Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Presiden PKR untuk penggal 2022 hingga 2025.

Ini kerana tiada calon yang mengemukakan kertas pencalonan bagi kerusi tertinggi parti itu, setakat jam 7 petang tadi.

Manakala bagi kerusi Timbalan Presiden, pertembungan sudah nyata menyaksikan pertandingan antara Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menentang setiausaha agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, bagi kerusi Naib Presiden setakat jam 7 petang sejumlah 17 orang calon mengemukakan permohonan masing-masing.

“Setakat jam 7 petang kerusi tiada pencalonan kerusi presiden selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun kerusi naib presiden ditandingi 17 calon,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Zaliha Mustafa

Antaranya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Saari; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; bekas Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Selain itu, bekas Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Perak, Farhash Wafa Salvador; dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid turut mengemukakan pencalonan mereka.

Manakala, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chah Lih Kang; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; ADUN Hutan Melintang, G Manivannan; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran; ADUN Sentosa G Gunarajah; bekas ADUN Bandar, Azan Ismail; ADUN Chuah, Yek Diew Ching; Naib Pemuda AMK, S Thiban; Mustaffa Kamil Ayub; R Summugam; juga tidak melepaskan peluang merebut jawatan sama.

Bagaimanapun kata Zaliha, angka itu masih belum muktamad dan menunggu kelulusan JPP.

“Proses pencalonan bagi pimpinan utama MPP akan ditutup pada jam 11.59 malam,” katanya lagi.

Dalam perlembagaan PKR, hanya empat individu yang akan diangkat sebagai Naib Presiden manakala tiga lagi atas kapasiti lantikan parti.

Bagi kerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), hanya dua calon yang mengemukakan pencalonan iaitu Fahmi Zainol dan Adam Adli Abdul Halim.

Manakala bagi kerusi Ketua Wanita PKR, dua calon mengemukakan pencalonan mereka iaitu ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dan Senator Fadhlina Sidek. – MalaysiaGazette