Home Nasional Polis P.Pinang siasat dakwaan anggotanya terima rasuah

Polis P.Pinang siasat dakwaan anggotanya terima rasuah

 

SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang kini sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan anggotanya menerima rasuah dalam satu kejadian berhampiran sebuah bank di Jalan Bagan Ajam, Butterworth di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya terkesan satu rakaman video pada jam 10 pagi tadi dimuat naik pemilik akaun TikTok iqalice1 Babymeylice yang mendakwa anggota polis menerima rasuah daripada satu pasangan.

“Susulan itu, lelaki yang berada dalam rakaman video tersebut tampil membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat berhubung dakwaan tersebut pada jam 11.30 pagi.

“Siasatan berhubung kejadian dan dakwaan itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota sekiranya terlibat dalam salah laku tersebut.

MalaysiaGazette difahamkan, pasangan berkenaan didapati berkelakuan tidak senonoh dalam kenderaan mereka sebelum meminta pihak polis tidak memaklumkan perbuatan tersebut kepada keluarga masing-masing.

Ekorannya, pasangan yang mendakwa sudah bertunang itu dikatakan menyerahkan RM200 kepada anggota polis untuk merahsiakan kelakuan mereka.

Tangkap layar menunjukkan kereta peronda polis dihadapan kenderaan pengadu selain penumpang kereta menunjukkan wang yang didakwa untuk diberikan kepada pihak polis.

Terdahulu tular rakaman video menunjukkan penumpang di bahagian hadapan memberikan beberapa keping wang RM50 serta RM100 kepada seorang lelaki yang berada di tempat duduk pemandu sebelum lelaki itu keluar dari kenderaan dinaiki mereka.

Susulan itu, lelaki tersebut menghala ke arah sebuah kereta peronda polis yang berada dihadapan mereka sebelum kembali ke keretanya sambil mendakwa pihak polis menerima rasuah. – MalaysiaGazette