Home Nasional Warga emas, penuntut IPTA rugi RM259,642 ditipu Macau Scam

Warga emas, penuntut IPTA rugi RM259,642 ditipu Macau Scam

E Sundra Rajan

MELAKA – Warga emas dan seorang pelajar menjadi mangsa terbaru sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM259,642.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata bagi kes pertama, seorang penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 21 tahun kerugian RM12,000 selepas diperdaya suspek yang menyamar sebagai pegawai KKM.

Menurutnya, mangsa yang dihubungi suspek melalui panggilan telefon kemudian memaklumkan kononnya butiran mangsa sudah digunakan oleh individu lain untuk pendaftaran sebagai penerima vaksin.

“Suspek seterusnya mengarahkan mangsa untuk memberikan kerjasama dengan pihak KKM kononnya untuk menyiasat perkara tersebut.

“Panggilan telefon mangsa kemudian dihubungkan kononnya kepada pihak polis untuk pengesahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Balai Polis Batu Berendam

Tambahnya, sindiket juga mendakwa butiran diri mangsa telah terlibat dengan kes jenayah penggubahan wang haram dan sekiranya gagal memberikan kerjasama, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mangsa.

“Sindiket juga mengarahkan mangsa untuk memberikan segala maklumat akaun kononnya bagi tujuan semakan audit membuatkan mangsa yang takut memberikan butiran maklumat nombor akaun bank, nombor pin dan kata laluan perbankan dalam talian.

“Setelah itu, suspek akan membuat pemindahan wang ke akaun yang digunakan suspek,” katanya.

Dalam pada itu, Sundra Rajan berkata, bagi kes kedua pula, seorang surirumah di berusia 60 tahun kerugian wang simpanan berjumlah RM247,000 selepas mendapat panggilan telefon daripada suspek yang menggunakan modus operandi sama.

“Kedua-dua mangsa masing-masing kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam dan Balai Polis Simpang Ampat di sini, Jumaat lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Mengulas Sundra berkata, orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dalam dalam melakukan pemindahan wang ke akaun tidak dikenali dengan menyemak nombor akaun yang meragukan.

“Semakan boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih semakmule CCID untuk membolehkan masyarakat semak akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod jenayah secara sahih,” katanya. – MalaysiaGAzette