Home Sukan Vidakovic dapat surat amaran selepas dedah Melaka United tak bayar gaji

Vidakovic dapat surat amaran selepas dedah Melaka United tak bayar gaji

Risto Vidakovic. Foto Facebook Melaka United.

KUALA LUMPUR – Melaka United FC memberi surat amaran kepada Ketua Jurulatihnya, Risto Vidakovic kerana mendedahkan hal dalaman pasukan sehingga memberikan imej negatif kepada pasukan tersebut.

Walaupun pengendali tersebut sudahpun memohon maaf namun tindakan tetap dikenakan agar menjadi pengajaran pada semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum berbincang dengan pihak pengurusan, kata pemilik MUFC, Datuk Seri Justin Lim.

“Pada peringkat awal ini, kami memberinya surat amaran dan tindakan lanjut akan diambil kelak supaya perkara sama tidak berulang,” katanya seperti dipetik melalui Arena Metro.

Menurut Justin, beliau banyak berkorban untuk membina MUFC dan tidak akan merosakkan usaha yang telah dilakukan termasuk tidak membayar gaji kepada pemainnya.

Sebelum ini, Vidakovic mendakwa aksi longlai yang dipertontonkan anak buahnya semasa bertemu Sabah FC sehingga tewas 1-0 berpunca daripada gaji yang tidak dibayar hampir tiga bulan.

Bagaimanapun perkara itu pantas dinafikan pengurusan bahawa gaji hanya tertunggak sebulan dan sudahpun diselesaikan. – MalaysiaGazette