KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa pemimpin yang bertanding dalam pemilihan parti itu berhenti menggunakan kempen ‘menjadi pilihan presiden’ bagi meraih undi.
Rafizi mendakwa, beliau mengesan terdapat calon yang mengunakan cara tersebut dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung sekarang.
Katanya, pemimpin terbabit memberi gambaran sekiranya ahli tidak mengundi mereka seolah-olah tidak setia kepada institusi presiden.
“Pemilihan kali ini sewajarnya tidak dicemarkan dengan emosi, serangan peribadi atau kempen yang bersandarkan ‘wahyu’.
“Saya sedar ada calon-calon yang menyebarkan konon mereka menjadi pilihan presiden parti dan memberi gambaran jika tidak mengundi mereka, itu tidak setia kepada ‘institusi presiden’.
“Kempen sebegini wajar dihentikan serta-merta. Hak untuk memilih pemimpin adalah hak individu setiap anggota,” tegasnya.
Rafizi berkata, pencapaian seorang calon seharusnya didasarkan semata-mata kepada rekod pendirian yang sehaluan dengan perjuangan parti.
Malah penilaian juga perlu diberikan terhadap kemampuan calon itu menggerakkan kempen dan gerak kerja untuk melonjakkan kedudukan parti di mata rakyat.
Serentak itu, beliau mencabar pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut bertanding jawatan Timbalan Presiden untuk memberikan pendirian berhubung hala tuju parti dan strategi gerak kerja PKR.
“Kami merupakan barisan pimpinan PKR yang meyakini rakyat. Kami tidak percaya kepada sebarang strategi yang dirunding di bilik tertutup di kalangan bangsawan-bangsawan politik.
“Kami yakin dengan kebijaksanaan rakyat yang akan memberi kemenangan kepada PKR jika kita benar-benar berjuang untuk mereka.
“Sudah sampai masanya untuk calon-calon lain, iaitu saingan saya Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon-calon jawatan tertinggi yang lain memberi penjelasan mengenai pendirian mereka berkenaan dua perkara yang saya sebut sebelum ini,” katanya.
Menurut Rafizi, pemilihan kali ini akan menjadi pungutan suara dalam kalangan anggota biasa parti itu.
Anggota tersebut akan memutuskan sama ada beberapa kelompok yang terus mahu merundingkan pelbagai kerjasama dengan parti-parti lawan benar-benar ada mandat dari anggota parti.
Dalam pemilihan kali ini Rafizi dilihat mempunyai kumpulannya sendiri apabila tanpa berselindung menyebut beberapa nama dalam kenyataan tersebut.
Antaranya Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Haron, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail.- MalaysiaGazette