KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) berharap kerajaan bersedia menimbangkan insentif bagi mempromosi modal teroka dalam Bajet 2018 untuk mengalakkan keusahawanan.
Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, modal swasta dan modal teroka sentiasa mendapat permintaan khususnya untuk syarikat-syarikat baharu.
“Berdasarkan penglibatan PNB dengan industri-industri, kami mendapati pembiayaan atau modal yang diperlukan oleh usahawan-usahawan untuk memulakan atau melebarkan sesuatu projek tidak mencukupi.
“Contohnya, aplikasi Grab yang mendapat pembiayaan dari peringkat awal lagi terpaksa berhijrah ke Singapura kerana tidak ada firma modal teroka yang mahu membiayai sejumlah pelaburan bagi membangunkan perniagaannya,” kata Abdul Wahid.
Lantaran itu, katanya, kerajaan perlu membina ekosistem modal teroka supaya dapat menjana pembiayaan bagi perniagaan baharu bermula dari RM10 juta hingga RM50 juta.
Katanya, pembiayaan modal teroka biasanya dibuat secara berperingkat-peringkat, bermula apabila syarikat terbabit sudah mula menjana pendapatan. – MalaysiaGazette