Home Nasional Dua lelaki pengedar dadah dicekup

Dua lelaki pengedar dadah dicekup

Beberapa bungkusan dadah dan dadah cecair yang dirampas daripada dua lelaki warga tempatan. Ihsan IPD Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan yang aktif dalam pengedaran dadah di sekitar ibu negara sejak April tahun lalu berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam tangkapan itu, polis merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM74,380 daripada kedua-dua suspek.

“Pada Isnin jam lebih kurang 3 petang, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Wangsa Maju, telah menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan tepi Jalan Ampang Ulu 3, di ibu negara.

“Anggota kami telah merampas satu beg berwarna oren daripada suspek sebelum pemeriksaan di dalam beg itu berjaya membawa kepada penemuan 10 peket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine, anggaran berat 2.012 kilogram.

“Selain itu kita juga merampas sebuah botol berisi cecair disyaki cecair methamphetamine, anggaran isipadu 300 mililiter dan satu peket plastik berisi ketulan mampat dan ceraian daun kering disyaki ganja, anggaran berat 36 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil soal siasat ke atas suspek pertama, lebih kurang 3.40 petang pada hari yang sama, polis  membuat serbuan di satu lagi lokasi berasingan.

Hasilnya, polis telah menahan seorang lagi suspek lelaki di lobi Apartmen Astoria Ampang disyaki terlibat sama dengan suspek pertama dalam pengedaran dadah.

“Jumlah keseluruhan anggaran harga rampasan dadah bernilai RM74,380, selain merampas sebuah kereta jenama Perodua Myvi dan  Toyota Estima milik suspek pertama.

“Dadah yang dirampas daripada suspek dipercayai boleh menampung keperluan lebih kurang 4,060 orang penagih di sekitar ibu negara,” ujarnya.

Ujian saringan air kencing kedua-duannya juga positif dadah methamphetamine.

Ashari berkata, suspek pertama telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 18 April ini manakala suspek kedua telah direman selama tiga hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya dan juga Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette