KOTA KINABALU – Program Bazar Ramadan Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2022 merupakan platform para pelajar menimba pengalaman berniaga, sekali gus menjana pendapatan.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, ia juga meningkatkan kemahiran para pelajar UMS dalam bidang keusahawanan.
”Program ini adalah amat bertepatan dengan usaha UMS untuk menerapkan kemahiran insaniah kepada para pelajar sebagai persiapan memasuki dunia sebenar pekerjaan apabila tamat pengajian kelak.
”Kita ingin melihat pelajar-pelajar kita bukan hanya menjadi kakitangan kepada orang lain tetapi juga menjadi majikan atau ‘taukey’ besar suatu hari nanti,” katanya.
Taufiq berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian program Bazar Ramadan UMS, di sini, kelmarin.
Program yang berlangsung sepanjang bulan puasa itu dianjurkan bersama Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) UMS dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah.
Sementara itu Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid berkata, kombinasi antara pihak usahawan dan juga para pelajar sepanjang program ini diharap dapat menerapkan komuniti usahawan dalam kalangan pelajar UMS.
”Kita juga berharap, program-program seumpama ini akan berterusan melalui kerjasama dengan pihak UMS sekali gus mempertingkatkan usahawan dalam agromakanan.
”Pihak FAMA telah menjalin kerjasama dengan UMS sejak tahun 2016, menerusi program Pasar Tani My Best Buy yang kini dijenamakan semula sebagai Program Tamu Uptown@My Rakyat yang beroperasi setiap Khamis sejak 17 Mac lalu,” katanya.
Seramai 28 peniaga terdiri daripada pelajar, alumni UMS dan peniaga luar terlibat dalam Bazar Ramadan UMS 2022. – MalaysiaGazette