Home Utama Saifuddin patut bertanggungjawab gagal urus lawatan PM – Anifah

Saifuddin patut bertanggungjawab gagal urus lawatan PM – Anifah

Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung isu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) hingga menyebabkan dua diplomat ke negara itu dipanggil pulang.

Datuk Seri Anifah Aman berkata, jika berada di tempat Saifuddin, beliau akan melakukan siasatan dalaman dahulu dalam menangani isu tersebut.

”Walaupun Wisma Putra telah mengeluarkan kenyataan bahawa panggilan balik itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kegagalan mereka menyelaraskan urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri ke UAE, namun dua diplomat itu tidak sepatutnya dipanggil balik secara tergesa-gesa.

”Saya mempunyai keraguan tentang kegagalan mengurus lawatan itu kerana mereka ini adalah diplomat kanan dan berpengalaman terutamanya apabila ia melibatkan perdana menteri kita,” kata bekas Menteri Luar Negeri itu.

Tambah beliau, kebiasaannya, sebelum lawatan rasmi perdana menteri ke negara asing, persiapan rapi yang melibatkan Menteri Luar Negeri perlu dibuat.

Anifah berkata, semasa beliau berada di kementerian itu, Menteri Luar Negeri akanĀ  mendahului perdana menteri lebih awal di lokasi untuk memastikan persiapan yang diperlukan sudah dibuat.

”Sebagai Menteri Luar Negeri, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kelemahan yang berlaku semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke UAE.

“Kejadian ini memalukan negara kita dan seorang menteri sentiasa bertanggungjawab terhadap sebarang kelemahan kementerian dan beliau sepatutnya membela pegawainya.

“Saya ragu-ragu bahawa diplomat kanan dan berpengalaman seperti itu akan terlepas pandang butiran penting yang melibatkan perdana menteri,” tambahnya.

Anifah, yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, tindakan tergesa-gesa memanggil semula diplomat itu akan memburukkan negara kerana ia akan dianggap sebagai tidak mampu untuk menganjurkan sesuatu yang biasa seperti lawatan seorang ketua kerajaan.

Sedangkan, tegasnya, pegawai-pegawai di Wisma Putra semuanya berpengalaman dan mereka yang dipilih untuk menjadi Ketua Perwakilan biasanya seorang diplomat terkemuka dan mempunyai pengalaman bertahun-tahun di bawah kendalian mereka.

”Insiden seperti ini jarang berlaku dan jika ia berlaku, ia boleh dicegah sekiranya Menteri Luar berada di UAE terlebih dahulu untuk memantau sendiri persiapan lawatan perdana menteri.

”Berada di sana terlebih dahulu adalah sebahagian daripada tugas seorang Menteri Luar dan jika beliau gagal berada di sana, beliau tidak sepatutnya bersetuju atau mengarahkan penarikan balik kedua-dua diplomat itu,” kata Anifah lagi.

Anifah menambah, sudah menjadi amalan biasa untuk mesyuarat dalaman (pra-majlis) diadakan di Malaysia di kementerian itu untuk setiap acara terutamanya yang melibatkan perdana menteri, diikuti dengan taklimat dengan Pejabat Perdana Menteri mengenai pengaturan logistik, diikuti oleh Menteri Luar dan pasukan pendahuluan tiba lebih awal dan mesyuarat akhir pra-majlis di negara acara sebelum ketibaan Perdana Menteri Malaysia.

Semua prosedur itu, jelas Anifah bagi memastikan kesilapan seperti yang berlaku di UAE tidak berlaku.

”Tindakan jenis ini memberi gambaran buruk kepada Menteri Luar dan akibatnya juga kepada Malaysia,” kata Anifah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mereka sabotaj pm lah tu sebab pm bukan dari presiden parti. Itu mereka buat lupa seolah tak kenal.

Comments are closed.