Home Nasional Tiada pihak ketiga tampil buat aduan kes rasuah Bung – Peguam bela

Tiada pihak ketiga tampil buat aduan kes rasuah Bung – Peguam bela

Gambar Arkib: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai menghadiri hari pertama perbicaraan kes percubaan rasuah dengan bernilai RM 2.8 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pasukan bela mewakili Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengemukakan bantahan hari ini kepada Mahkamah Sesyen di sini berhubung maklumat yang diterima oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan kes rasuah mereka.

Ini kerana tindakan pegawai SPRM itu dianggap lebih kepada ‘hearsay’ sehingga menyebabkan kes rasuah ini sedang dibicarakan ketika ini ke atas Bung dan juga isterinya, Datin Seri Zizie Izzette A. Samad yang turut di tuduh bersubahat dalam kes sama.

Ketika prosiding hari ini, hujah peguam bela, Datuk K. Kumaraendran aduan telah diberikan oleh pegawai atasan SPRM, Penguasa Kanan, Mohd Haris Ibrahim sebagai pihak ketiga dan bukannya pemberi maklumat.

Mohd Haris adalah saksi pendakwaan ke-27 dalam kes ini.

Hujah Kumaraendran, laporan maklumat pertama (FIR) dibuat atas maklumat pegawai atasan dan ini dakwa beliau cubaan pendakwaan menggunakan cara pintu belakang agar laporan itu di terima oleh mahkamah.

“Tetapi tidak ada pihak ketiga yang tampil buat aduan. Pendakwaan guna pintu belakang supaya laporan kes ini di terima di mahkamah,” hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob.

Datuk K. Kumaraendran

Kata peguam itu, hakikatnya laporan itu tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan memandangkan tidak ada seorang pun tampil buat laporan kepada pegawai SPRM.

Bagaimanapun pendakwaan berhujah FIR masih diterima dan siasatan dimulakan kerana yang memberikan aduan adalah pegawai atasan.

Kata Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria, SPRM mempunyai kuasa istimewa untuk menyiasat aduan dan maklumat yang diterima daripada pemberi maklumat.

Setelah mendengar hujah-hujah pendakwaan dan pembelaan, Rozina Ayob kemudian menetapkan penghujahan bertulis oleh kedua-dua pihak pada 20 April sebelum beliau membuat ketetapan terhadap bantahan tersebut.

Pada 3 Mei tahun lalu, Bung mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie,42,.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie atas sebab yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015.

Zizie juga mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama. – MalaysiaGazette