KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri membuat laporan polis dan siasatan dalaman dilakukan berhubung rakaman suara seorang individu mengadu kepada seorang “Datin” berkaitan hal yang berlaku dalam kementerian itu.
Merujuk kenyataan dikeluarkan Wisma Putra petang ini, kementerian itu memandang serius terhadap tuduhan tidak berasas yang dibuat melalui rakaman suara itu.
“Rakaman suara itu dilihat bertujuan untuk menimbulkan kekeliruan bagi kepentingan pihak tertentu.
Sehubungan itu, satu siasatan dalaman sedang dilaksanakan dan laporan polis telah dibuat demi melindungi kepentingan dan imej Kementerian Luar Negeri,” kata kenyataan itu kepada media.
Ahad lalu, tular satu audio berdurasi 135 saat di media sosial berkenaan mesej seorang lelaki kepada “Datin” yang dipercayai mengadu tentang masalah dalaman kementerian itu.
Ia dipercayai ada kaitan dengan tindakan Kementerian Luar Negeri mengarah pulang dua diplomat kanan Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini. – MalaysiaGazette