PUTRAJAYA – Dua diplomat Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dipanggil pulang akan ditempatkan di Wisma Putra sebelum diberikan penugasan baharu dan bukan di ‘pool’ Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.
Beliau berkata, dakwaan seperti yang tular di media sosial bahawa dua diplomat itu diletakkan di ‘pool’ JPA dan istilah‘cold storage’ (dipetisejukkan) adalah tidak tepat dan tidak berlaku, sebaliknya mereka akan diberi kursus meningkatkan kemahiran apabila pulang.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam (11 April) berkata, Duta Besar Malaysia ke UAE dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang ke Kementerian Luar (KLN) setelah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke UAE pada 29 hingga 31 Mac lalu.
Mohd Shafiq juga menjelaskan tiada istilah ‘cold storage’ dalam perkhidmatan awam kerana penjawat awam yang dipanggil balik sementara menunggu penempatan baharu akan diberi kursus bagi meningkatkan kemahiran selain gaji mereka masih berjalan.
“Mereka dibayar gaji, gaji tidak dipotong dan diberi tugasan serta kursus. Dalam perkhidmatan orang pergi kursus dibayar gaji. Interpretasi ‘cold storage’ dalam kalangan masyarakat itu berbeza-beza dan harus diperbetulkan,” katanya.
“Penjawat awam bersedia ditukarkan dan itu adalah antara ikrar perkhidmatan awam iaitu ‘berkhidmat tanpa rasa takut atau berkepentingan’,” katanya.
Mohd Shafiq berkata, sebanyak 29 perjawatan perwakilan yang masih belum diisi yang mana tanggungjawab itu kini digalas kuasa usaha sementara (charge d’affaires) dan perkara tersebut sedang dibincangkan dengan Ketua Setiausaha KLN Tan Sri M. Shahrul Ikram Yaakob bagi pengisian segera.
Menurutnya, antara faktor yang menyebabkan pengisian semula tidak dapat dilakukan adalah kebanyakan pegawai telah pencen dan juga pandemik COVID-19 yang menyebabkan penghantaran diplomat tidak dapat dilaksanakan. – MalaysiaGazette