Home Nasional Cederakan isteri dengan rotan: Pemilik restoran dipenjara 10 tahun, empat sebatan

Cederakan isteri dengan rotan: Pemilik restoran dipenjara 10 tahun, empat sebatan

Gambar hiasan

TAWAU – Seorang pemilik restoran dihukum penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini kerana mencederakan isterinya menggunakan sebatang rotan minggu lepas.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Md Yusuf, 34, yang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mohd Faizal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Siti Nur Ajeerah Lama, 32, menggunakan sebatang rotan di Restoran D’Archery Garden, Batu 1, Jalan Kuhara di sini pada 1 tengah hari, 6 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Terdahulu ,Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana selain kepentingan awam, tahap kecederaan dialami mangsa perlu diambil kira yang sehingga kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Tawau serta mengalami trauma.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon hukuman diringankan dan memberitahu mahkamah bahawa tindakan itu atas perasaan marah kerana mengesyaki isterinya berlaku curang.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata hukuman dikenakan itu turut mengambil kira tahap keseriusan kecederaan dialami mangsa.

“Tidak kira sama ada betul atau tidak mangsa curang, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan tertuduh memukul mangsa dengan begitu teruk.

“Tertuduh boleh sahaja membuat laporan polis atau merujuk ke Mahkamah Syariah atau mendapatkan khidmat kaunseling kerana perbuatan terhadap isteri itu tidak wajar dan mendera,” katanya.

— BERNAMA

 

 

1 Komen

  1. bunuh lapan kanak2 basikal lajak kena penjara 6 tahun je…Cederakan isteti sendiri kena penjara 10 tahun dan 4 sebatan. Celaka punya mahkamah Malaysia.

Comments are closed.