Home Nasional Kastam rampas empat tan cerut dalam kontena

Kastam rampas empat tan cerut dalam kontena

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad menunjukkan produk tembakau (cerut) serta minuman keras rentas sempadan melalui penahanan 6 kontena di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan produk tembakau iaitu cerut tanpa cukai baru-baru ini.

Ia merupakan rampasan terbesar bagi pihaknya tahun ini.

Cerut seberat 4,000 kilogram atau empat tan diseludup masuk oleh pengimport dengan diisytiharkan sebagai barang pooja (sembahyang) di atas dokumen.

Ia kemudiannya disembunyikan di belakang barangan selipar getah di dalam kontena.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Muhammad Sabri Saad berkata, berdasarkan risikan dan maklumat pada 28 Februari lalu, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup sejumlah produk tembakau berkenaan.

Katanya, pemeriksaan bersama wakil perkapalan berjaya menemui cerut berkenaan di dalam sebuah kontena bersaiz 20 kaki semasa pemeriksaan di Pelabuhan Barat.

“Rampasan produk tembakau itu bernilai RM52,740 dan seberat 4,674 tan membabitkan jumlah cukai dan duti anggaran berjumlah RM3.090 juta,” katanya dalam sidang media di Kelana Jaya hari ini.

Hasil siasatan mendapati rampasan tembakau itu adalah barang larangan di bawah Butiran 1, Jadual ketiga/Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Justeru berdasarkan maklumat, dagangan tersebut tidak sama seperti maklumat yang diikrarkan dalam dokumen asal yang menunjukkan sebagai barang pooja (sembahyang) tetapi rupanya cerut yang disembunyikan di belakang muatan kontena bersama selipar getah.

Ia (selipar getah) hanya untuk mengaburi mata pihak berkuasa kastam,” katanya

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad menunjukkan minuman keras yang berjaya dirampas melalui penahanan 6 kontena ketika di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2022.

Tambah beliau, kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 bagi menjejaki pengimport sebenar yang berselindung dan bertanggungjawab untuk barangan tidak bercukai yang cuba diseludup masuk

Dalam pada itu, dalam satu lagi Ops Kontraban berasingan yang dilaksanakan antara 2 hingga 28 Mac lalu, pasukan operasi dan penguatkuasa yang sama turut berjaya melumpuhkan cubaan menyeludup sejumlah minuman keras yang disyaki tidak berkastam.

Katanya, hasil serbuan pihak Kastam berjaya menahan lima buah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara di Klang.

“Hasil pemeriksaan di dalam kelima-lima kontena itu bersama wakil perkapalan menemui minuman keras tidak berkastam berjenama seperti Tsingtao, Knight General, Southan, Lambo Super X dan Harbin yang mana pengimportannya memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam di bawah Peraturan 42(1) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

Antara tembakau (cerut) yang berjaya dirampas oleh pihak Kastam melalui penahanan 6 kontena ketika di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2022.

“Nilai rampasan arak berkenaan adalah berjumlah RM75,420 liter anggaran bernilai RM416, 254 membabitkan jumlah cukai dan duti berjumlah RM1,985,636 juta dan merupakan barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Berdasarkan maklumat di dalam Bill of Landing, dagangan tersebut tidak sama dengan maklumat yang diikrarkan dan pengimport sebenarnya menggunakan modus operandi menyembunyikan kesemua minuman keras itu di bahagian belakang muatan kontena dan di bahagian hadapan diletakkan barang campuran,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya telah memanggil lima individu yang merupakan wakil syarikat bagi mengambil keterangan untuk membantu siasatan dalam menentukan dan mendapatkan butiran lanjut pengimport sebenar barang cubaan seludup itu.

“Setakat ini tiada seorang pun yang tampil menyatakan mereka bertanggungjawab mengimport barang larangan tersebut.

“Kita akan meneruskan siasatan di bawah Akta Kastam 1967 mengimport apa apa barang tidak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

‘Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum minimum 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 yang mana lebih besar dan maksimum 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.-MalaysiaGazette