Home Nasional Pelaksanaan gaji minimum dilonggarkan untuk beberapa sektor – Saravanan

Pelaksanaan gaji minimum dilonggarkan untuk beberapa sektor – Saravanan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melancarkan gimik pada Pelancaran Inisiatif Microcredential HRD Corp di Hotel Le Meridien, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 13 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini memutuskan untuk melonggarkan syarat-syarat gaji minimum untuk beberapa sektor termasuk pekerjaan tidak formal.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perkara itu diputuskan Kabinet memandangkan ada sektor yang tidak mampu untuk melaksanakan dasar gaji minimum dan berdepan penutupan perniagaan sekiranya dilakukan.

“Atas permintaan Kabinet dan PM beberapa sektor akan diberikan kelonggaran sebab  ini bukan perkara baru. Dulu pertama kali kita perkenalkan gaji minimum tahun 2012 kita telah mengambil pendekatan sama di mana sektor tertentu kita beri kelonggaran setahun.

“Pada masa hari ini kita buat pendekatan sama kepada beberapa sektor termasuk sektor tidak rasmi.

“Ada juga orang kampung masih kerja dengan gaji RM500, RM600 sebulan. Kalau kita paksa mereka bayar gaji RM1,500 mungkin pekerja mereka hilang pekerjaan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Inisiatif Microcredential berasaskan industri pertanian negara untuk rakyat Malaysia.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad.

Saravanan berkata, tempoh yang diberikan dalam 12 bulan kepada syarikat-syarikat tersebut selain kelonggaran turut diberikan kepada syarikat yang mempunyai pekerja kurang daripada lima orang.

“Kedua syarikat yang kurang daripada lima orang akan diberikan kelonggaran dan syarikat yang mengalami kerugian besar dan industri perhotelan, pelancongan akan diberi kelonggaran.

“Apa yang akan berlaku selepas setahun masih belum dapat laksanakan gaji minimum mahu pun pandemik boleh gunakan kuasa menteri untuk lanjutan. Tidak ada masalah,” katanya lagi.

Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.

Pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. – MalaysiaGazette