PETALING JAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak pernah lekang daripada mencari formula untuk membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerajaan menyedari ramai dalam kalangan mereka berdepan dengan kesukaran untuk membuat pinjaman menerusi institusi kewangan, selain bayaran pendahuluan agak tinggi.
Justeru, kata beliau, KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan melancarkan program i-Biaya yang bertujuan membolehkan setiap mereka membuat pinjaman menerusi kaedah tertentu untuk memiliki rumah.
“Pada saya, agenda penyediaan rumah ini bukan agenda yang akan terhenti pada satu masa, saat dan ketika, malah ia adalah agenda berterusan,” katanya pada majlis perasmian Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) bersama Menteri Kewangan di sebuah hotel di sini, petang ini.
Menurut Reezal Merican, sebaik diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri untuk menerajui KPKT, beliau telah meletakkan soal memperjuangkan agenda menyediakan rumah kepada rakyat sebagai agensi terutamanya.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kementeriannya menyasarkan kira-kira 500,000 rumah mampu milik perlu dibina.
“Namun, sebelum itu, kita hendak tahu stok terlebih dahulu. Apabila kita sudah ada stok dan data, barulah kita boleh buat perancangan yang jauh lebih tersusun serta merata.
“Sebab itu saya mengaktifkan semula Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dianggota Menteri Kewangan.
“Turut menganggotai MPMMN ialah Ketua-ketua Menteri dan kementerian yang mempunyai agensi pelaksanaan penyediaan perumahan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Pertahanan,” katanya.
Menurut beliau, dalam menjadikan agenda penyediaan perumahaan ini lebih bersepadu, kementeriannya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak pelaksana termasuk Rumah Selangorku, Rumah Perakku dan sebagainya.
Ini katanya, bagi memberi jaminan kepada rakyat akan usaha kerajaan untuk memastikan mereka dapat memiliki rumah mampu milik dengan kaedah pembelian, pinjaman dan pembayaran yang akan diperkenalkan nanti.
Selain itu, jelasnya, beliau turut menerima pandangan dan nasihat daripada Bank Negara Malaysia (BNM) terdapat rumah yang dianggap agak mahal dan telah mengarahkan Jabatan Perumahan Negara (JPN) serta semua agensi untuk buat pemetaan.
Mengenai kemudahan pembiayaan kewangan, Reezal Merican berkata, banyak institusi kewangan telah membantu dalam menjayakan program kerajaan itu, tetapi pada masa sama pihaknya perlu mencari kaedah tertentu.
“Antara kita dapat tahu masalah dihadapi di kalangan pembeli iaitu tidak mendapat pembiayaan rumah ialah mereka yang tidak ada keupayaan untuk membayar wang pendahuluan.
“Mereka tidak mempunyai struktur penggajian yang sistematik yang sentiasa digunakan sebagai syarat oleh bank untuk membuat pinjaman seperti slip gaji dan sebagainya.
“Faktor lain ialah mereka yang mungkin mempunyai pendapatan tahun ini tidak mampu, tetapi tahun akan datang mampu, tetapi malangnya kehilangan kelayakan untuk memiliki (membuat pinjaman) pada tahun ini,” kata beliau.
Maka, kata beliau, dengan program i-Biaya yang diperkenalkan itu, kerajaan yakin dapat melihat dan memberi jawapan kepada permasalahan yang dihadapi rakyat itu.
Beliau turut menjelaskan, selain B40 dan M40, golongan atlet paralimpik dan penggiat seni tanah air juga berdepan kesulitan untuk membeli rumah kerana punca pendapatan mereka tidak dapat dibuktikan menerusi slip gaji.
“Mereka ini banyak jasa kepada negara dan tanah air, tetapi kehidupan mereka terhimpit dengan masalah untuk mendapatkan pembiayaan.
“Maka, sebab itu saya nak maklumkan bahawa kerajaan tidak pernah alpa daripada mencari pelbagai kaedah bagi memastikan setiap daripada mereka dapat mencapai impian memiliki kediaman sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette