MELAKA – Seorang tekong darat dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan penyeludupan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) di sini dua tahun lalu.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandes menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Agung Saputra, 30, dari Indonesia, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Akta 670) yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara 15 tahun dan denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Jawa Timur, melakukan penyeludupan migran terhadap lima PATI warga Indonesia berusia antara 27 hingga 33 tahun.
Bapa kepada tiga anak itu turut bertindak menguruskan perjalanan termasuk menyediakan rumah sewa kepada pati terbabit dengan menerima upah sebanyak RM4,750 bagi urusan itu.
Kesalahan dilakukan tertuduh di pesisiran Pantai Kampung Balik Batu, Masjid Tanah, Melaka pada 15 Februari 2020.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan dengan alasan perlu menanggung isteri dan tiga anak selain ibu bapa di Jawa Timur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nabilalif Mohd Rosli bagaimanapun memohon agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan berat tertuduh melibatkan keselamatan negara dan mengaut keuntungan yang banyak daripada penyeludupan PATI.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dari tarikh ditangkap pada 15 Februari 2020. – MalaysiaGazette